Saya selamat – Bala
KUALA LUMPUR 8 Julai – Selepas lima hari ‘menghilang’, penyiasat persendirian P. Balasubramaniam buat pertama kali menelefon anak saudaranya, R. Kumaresan.
Balasubramaniam memberitahu, dia dan isterinya, S. Senthamil berada dalam keadaan selamat.
Kumaresan, 27, mendakwa mendapat panggilan itu pada pukul 11.30 malam tadi daripada bapa saudaranya itu yang menggunakan talian telefon peribadi.
“Dia bagaimanapun enggan mendedahkan kedudukannya walaupun saya tanya dia berkali-kali. Dia hanya memaklumkan kepada saya dia okay dan tidak dapat bercakap lanjut.
“Selepas itu, dia menyerahkan telefon itu kepada ibu saudara saya, namun Senthamil turut menyatakan perkara yang sama,” kata Kumaresan kepada pemberita ketika upacara menyalakan lilin di Jalan Tun Sambathan di sini malam ini.
Upacara simbolik itu diadakan sebagai desakan supaya pihak berkuasa mendedahkan kedudukan keluarga Balasubramaniam.
Kumaresan merasakan keluarga bapa saudaranya itu seakan-akan berada di dalam sebuah bilik kerana dia sempat mendengar bunyi pintu ditutup sebelum Balasubramaniam memutuskan talian.
“Keadaan tiga anaknya bagaimanapun masih belum diketahui,” jelas beliau.
Penyiasat persendirian itu bersama isteri dan tiga anaknya yang berusia antara enam dan 11 tahun ‘hilang’ sejak 3 Julai lalu.
Balasubramaniam dalam akuan bersumpah pertama pada 1 Julai lalu membuat pelbagai dakwaan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Bagaimanapun akuan bersumpah keduanya pada 3 Julai menarik balik semua tuduhan tersebut.
Sementara itu, polis tidak menolak kemungkinan penyiasat persendirian tersebut kini berada di luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, polis Malaysia akan mendapatkan kerjasama Interpol untuk mengesahkan perkara tersebut.
Beliau memberitahu, Balasubramaniam memang dikehendaki pihak polis untuk diambil keterangan berhubung dua akuan bersumpah yang dibuatnya baru-baru ini.
“Kita tidak menyangkal ada kemungkinan dia berada di luar negara.
“Setakat ini kita telah memaklumkan kepada Interpol dan pihak-pihak berkenaan di sempadan negara bagi mengesannya,’’ kata Mohd. Bakri kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Kuantan hari ini.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment