01 July 2008

Sabar Pandikar ada hadnya

Saya bengang - Pandikar Amin

“Saya bengang” itu reaksi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tindakan beberapa ahli dewan yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat dan mencabar kredibiliti beliau sebagai Speaker.

“Susah nak percaya jika dikatakan mereka (Ahli Parlimen) tidak faham peraturan, kebanyakan mereka peguam yang handal,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan tindakan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), yang mencabar Pandikar Amin supaya menggunakan kuasa yang ada untuk mengusir mana-mana ahli dewan yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat.

Gobind sebelum itu tidak berpuas hati dengan Pandikar kerana tidak membenarkannya mengemukakan soalan tambahan yang didakwa Pandikar tidak berkaitan dengan soalan asal yang diajukan.

“Saya tak berniat nak mengugut, tetapi jika saya bagi kelonggaran, timbul pula kekecohan…salah juga.

“Saya bukan tak berani…semua orang berani, tetapi perlu guna keberanian dengan kebijaksanaan,” katanya.

Berhubung tindakan semua Ahli Parlimen pembangkang yang keluar Dewan kerana turut tidak puas hati dengan keputusan Pandikar membenarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat penjelasan tambahan mengenai Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang dibentangkan Khamis lalu bagi pihak Perdana Menteri, Pandikar berkata Najib boleh berbuat demikian berdasarkan Perkara 45.

Najib juga telah mengemukakan notis dua jam mengikut Perkara 25 sebelum dibenarkan membuat penjelasan.

Pandikar Amin mengingatkan bahawa ahli dewan boleh mengemukakan usul bantahan mengikut Perkara 43.

“Perkara 43 boleh digunakan untuk kemukakan usul bantahan, tapi mereka tidak mahi guna. Mereka suka nak mencabar Speaker,” katanya dengan kecewa.

www.mstar.com.my

No comments:

Post a Comment