Ada yang kata mustahil dan ada yang kata tidak mustahil reformasi 1998 akan bergema semula. Isu ini sedang bermain di fikiran pembesar negeri. Langkah mesti berhati-hati. Kalau mahu pun kita mengambil tindakan ke atas Anwar, kerajaan khususnya kepimpinan yang memimpin perlu berhati-hati. Sebarang langkah yang tidak menampakkan ketelusan perlu diselesaikan agar rakyat yakin atas sebarang tindakan yang mahu diambil ke atas Anwar Ibrahim biar dia berada dipihak yang benar atau tidak.Apa yang ada hari ini adalah keyakinan mereka yang menyokong Anwar Ibrahim terhadap sistem yang ada. Mereka mencurigai kerajaan. Mereka mencurigai badan kehakiman dan Jabatan Polis. Adakah salah mereka mencurigai kedua-dua badan ini? Sekiranya Polis Di Raja Malaysia tidak diragui, pasti Anwar tidak akan mendapat sokongan. Pasti mereka yang menyokong Anwar akan menyerahkan kepada polis secara keseluruhan untuk menyiasat kes ini. Sehingga hari ini, yang menjadi masalah ialah kepercayaan mereka terhadap Institusi ini. Mereka ragu campur tangan kuasa-kuasa politik dalam isu ini.
Adakah mungkin mereka yang terlibat dalam reformasi tahun 1998 lupa. Kalau golongan reformasi sewaktu itu berumur 30 tahun – hari ini mereka berusia 40 tahun dan pasti ingatan mereka masih segar lagi. Mereka pasti sedar dan bertanyakan khabar Azizan Abu Bakar yang membuat tuduhan liwat pertama. Apa pula khabar Umi Halfida yang membawa cerita anak Azmin Ali itu adalah anak Anwar Ibrahim? Bagaimana pula Lim Kong Boon, pakar DNA – membuang sampel dan akhirnya proses itu dibuang oleh mahkamah. Bagaimana pula Agustine Paul ? Semua ini masih teringat-ingat di pemikiran mereka. Mereka masih ada lagi berkeliaran di muka bumi Malaysia dan mereka percaya Anwar Ibrahim tidak bersalah kerana prosedur mahkamah dan tindakan polis sewaktu itu amat mendukacitakan. Adakah kita ingat kata-kata ini, tarikh pertuduhan itu tersilap – tersalah taip dan rumah tempat di tertuduh melakukan liwat – tidak siap sewaktu tarikh tuduhan di buat. Namun mahkamah menerima kesalahan tarikh, pindaan tarikh dan bermacam-macam-macam isu lain – sehingga satu persoalan timbul – adakah Azizan di buat pemeriksaan doktor?
Memori inilah yang menyinggahi mereka hari ini. Memori ini dan karakter seperti Abdul Ghani Patail dan Musa Hassan adalah penghalang untuk apa juga realiti yang ada. Sistem kehakiman yang hilang asas “ tanpa sebarang keraguan” menjadi penyebab kenapa mereka terus menerus mempercayai Anwar Ibrahim.
Ini belum lagi kenyataan Lim Kong Boon dalam isu DNA. Elok kalau kita rujuk semula, kata beliau “ "DNA should not be the sole foundation for finding a person guilty," he said. "We must also look for other evidence” petikan dari BBC News 1998.
Jelas apa yang berlaku hari ini bukan Anwar sahaja yang di adili tetapi hari ini melewati tahun 1998 – 2004 yang sedang diadili adalah Kerajaan Negara Malaysia – sistem perundangan dan polis. Adakah salah kalau kita katakan, dengan apa yang berlaku pada tahun 1998 maka kepercayaan ratusan ribu rakyat tercalar dan untuk meyakinkan mereka adalah satu usaha yang berat. Andai benar pun Anwar melakukan liwat – tetapi liwat ke atas sistem yang ada sebelum ini membuat mereka terus menyokong Anwar. Salah siapa?
Sebenarnya dalam isu ini kerajaan dan kepimpinan yang ada, seperti Syed Hamid, tidak perlu bersuara – dengan persoalan “kenapa takut” – kerana bagi mereka yang hadir setiap perbicaraan Anwar Ibrahim dari tahun 1998 – 2004 dan membaca cara perjalanan kes itu – keraguan sudah cukup besar untuk mereka terus mempercayai sistem yang ada. Di tambah pula dengan isu sistem kehakiman yang ada – isu kes Lingam, isu kes Altantuya yang penuh dengan kehairanan dengan peranan yang dimainkan oleh polis – sedikit sebanyak menjadikan sebarang pertuduhan terhadap Anwar sesuatu yang dikatakan konspirasi.
Mungkin kita perlu membersihkan semula banyak isu tertunda – memulakan langkah meyakinkan rakyat terhadap janji-janji kita. Kerakusan dan kesilapan dalam mengendalikan kes ini akan terus mengundang penentangan. Sehingga kes pertuduhan liwat ini juga telah memberi sedikit keraguan bila mana kenyataan Najib mengenai kehadiran penuduh, Saiful Bukhari menemui beliau mencurigakan penyokong Anwar. Ini pula di tambahan dengan penangkapan awal dari tempoh jam 2.00pm dan lebih buruk lagi setelah Anwar Ibrahim memperakui kehadiran beliau.
Kemungkaran janji ini di jawab pula oleh Ketua Polis Negara dengan jawapan yang tidak konklusif. Sungguhpun mungkin ini prosedur biasa tetapi hakikat apa yang telah berlaku pada tahun 1998 – kehilangan keyakinan penyokong dan rakyat secara am terhadap polis perlu diambil kira. Semua ini memberi kesan negatif kepada mereka yang sudah terpalit dengan perjuangan reformasi cetusan Anwar Ibrahim sebelum ini.
Kerajaan perlu lebih berhati-hati dan sedikit keraguan mengenai adanya campur tangan politik sudah cukup untuk menimbulkan keraguan mereka dari penyokong Anwar. Keraguan ini sudah bermula lebih awal lagi dengan Saiful bertindak berjumpa TPM untuk memberitahu bahawa beliau di liwat. Keraguan sebegini tidak menguntungkan kerajaan, khususnya polis.
Setiap langkah yang mahu dibuat perlu dilaksanakan lebih telus, lebih terbuka dengan kedudukan yang lebih teliti agar ini tidak mengundang REFORMASI KEDUA. Untuk pertanyaan adakah mungkin REFORMASI KEDUA berlaku kembali, ini tidak mustahil dengan keadaan sokongan kepada kerajaan yang ada agak lemah dan diikuti dengan masalah ekonomi dan keperitan kos kehidupan seharian - segala-galanya mungkin.
www.umno-reform2.com
No comments:
Post a Comment