11 July 2008

Ramai ahli Umno tidak suka Ezam | Selalu mengugut orang lain dengan kononnya memperolehi bukti-bukti salahguna kuasa seperti 6 kotak hitam dan sebagai

Pengaruh Anwar di kalangan pakatan pembangkang merosot

KOTA BAHARU: Pengaruh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, di kalangan pakatan parti pembangkang kian terhakis berikutan tuduhan terbaru kes liwat yang dihadapinya, kata bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd Noor.

Katanya, bagi mengalih perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapi oleh Anwar, PKR sengaja membuat gimik politik melalui tindakan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengemukakan notis usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau mengulas tindakan Dr Wan Azizah menyerahkan notis itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen semalam.

“Untuk menyelamat keadaan yang semakin rapuh itu mereka sengaja menimbulkan isu itu seolah-olah negara sedang menghadapi masalah yang lebih besar dan perlu diberi perhatian segera,” katanya kepada pemberita selepas berceramah politik di sini malam tadi.

Turut hadir ialah bekas Naib Ketua Pemuda PKR Kelantan, Hamdan Tahar dan bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Azmi Ishak serta kira-kira 1,000 penduduk tempatan.

Beliau juga yakin cadangan undi tidak percaya itu tidak akan memberi kesan sedikit pun kepada kestabilan negara kerana rakyat sudah pandai menilai siapa yang benar.

Ezam turut mengakui bahawa sejak beliau keluar daripada PKR dan menyertai Umno, terdapat banyak pihak yang menyerangnya secara peribadi termasuk melalui SMS dengan membuat pelbagai cemuhan terutama daripada angkatan muda PKR.

Beliau berkata, bagi menegakkan kebenaran beliau sanggup berdepan dengan sesiapa sahaja termasuk berdebat dengan Anwar yang kini lebih suka membuka pintu kepada orang luar untuk menguasai kepimpinan asalkan beliau dapat menjadi Perdana Menteri.

Ezam juga mengancam akan mendedahkan satu rahsia besar bersama buktinya berhubung PKR sekiranya ada pihak yang berterusan cuba memperlekehkan maruahnya.

“Tunggulah sampai masanya saya akan dedahkan,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenainya.

Ezam juga berharap pemimpin PKR lain tidak memberikan sokongan “membabi buta” terhadap Anwar dan sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip perjuangan mencari kebenaran dalam Islam.

“Tak semestinya setiap pemimpin itu (bercakap) benar, salah juga jika percayakan Anwar 100 peratus. Ia bertentangan dengan prinsip Islam dalam mencari kebenaran dan penyelesaian sesuatu masalah,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment