16 July 2008

Polis bertopeng tahan Anwar secara kasar

Anwar ditahan polis bertopeng

Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.

Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.

Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.

Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.

Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.

Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.

Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.

Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.

Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.

Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur, sementara lebih 200 orang berada di jalan utama menuju bangunan itu, depan bekas Penjara Pudu.

Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.

Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.

Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Kelihatan sepasukan anggota polis memantau pergerakan para penyokong yang berhimpun di situ. Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air.

Ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong, yang berada di dalam bangunan itu berkata, Wan Azizah dan dua anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Nuha - dibenarkan menemui Anwar di tingkat tujuh pada kira-kira jam 2 petang.

Pada jam 2.35 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya, serta peguam Sankara Nair muncul dari bangunan tersebut.

Pada jam 2.40 petang, ahli Parlimen DAP termasuk Lim Kit Siang, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Anthony Loke juga kelihatan meninggal dari bangunan tersebut.

Loke berkata, mereka hanya dibenarkan menunggu di kantin, dan semua ahli Parlimen Pakatan akan balik ke Parlimen untuk "membangkitkan isu tersebut".

Pada jam 2.50 petang, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar berkata, pihak polis sudah mula menyoalsiasat Anwar.

Katanya, perhimpunan sokongan kerdipan lilin akan diadakan di luar bangunan tersebut jika Anwar tidak dibebaskan hari ini.

Peguam Latheefa Koya pula berkata, Anwar ditahan sebagai suspek, tetapi pihak polis mahu merakamkan kenyataannya sebagai saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

"(Pada kira-kira jam 2.40 petang, peguam) Sulaiman Abdullah masuk bersama peguam Param Cumaraswamy. Anwar akan diwakili oleh tiga peguam termasuk Sulaiman. Param berada di situ sebagai tokoh antarabangsa," katanya.

(Param merupakan bekas pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kebebasan hakim dan peguam).

Sementara itu, pada jam 5.40 petang, peguam N Sankara Nair memberitahu, Anwar masih lagi memberi kenyataan kepada pihak polis.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment