PM Australia tidak akan temui Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR 7 Julai — Perdana Menteri Australia Kevin Rudd yang dijadual tiba di sini untuk lawatan rasmi Khamis ini, membuat keputusan untuk tidak menemui bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut laporan yang disiarkan akhbar
“The Australian” hari ini. Laporan itu menyebut bahawa Rudd, yang akan melawat Malaysia buat pertama kali selaku Perdana Menteri, “telah memilih untuk berpegang teguh kepada protokol kerajaan Malaysia dan Australia yang sedia ada” dan tidak akan bertemu Anwar atau Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Laporan sebelum ini menyebut bahawa Rudd mempertimbangkan untuk bertemu Anwar sebagai sebahagian daripada persediaan lawatannya dan telahpun mendapatkan nasihat daripada Jabatan Hal Ehwal Luar serta Suruhanjaya Tinggi Australia di sini berhubung kesan politik yang merumitkan jika menemui Anwar semasa lawatan itu.
Bagaimanapun, keputusan dibuat kemudian bahawa beliau tidak akan bertemu Anwar atau isterinya semasa lawatan lapan jam itu selepas menghadiri mesyuarat G8 di Jepun. Rudd dijangka menaiki penerbangan terus ke Malaysia dari Hokkaido, Jepun untuk lawatan berkenaan sebelum berlepas pulang ke Canberra. Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Russia dan United Kingdom, bersama dengan Jepun selaku negara tuan rumah, ketika ini mengadakan mesyuarat tiga hari di Toyako, sebuah resort pinggir tasik di utara pulau Hokkaido.
- Bernama
No comments:
Post a Comment