16 July 2008

Penyokong debat tenang | Pengawal keselamatan belasah jurugambar

Kecoh petugas media cedera - Selepas debat antara Ahmad Shabery dan Anwar

KUALA LUMPUR – Walaupun debat antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan lancar namun kekecohan berlaku membabitkan petugas media dan anggota keselamatan yang bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini malam tadi.

Beberapa jurugambar akhbar dan media elektronik dilaporkan dihalang serta ada yang disepak dan dipukul anggota keselamatan terbabit.

Kekecohan bermula kira-kira lima minit selepas debat khas antara Ahmad Shabery dan Anwar selesai.

Petugas akhbar dan media dilaporkan dihalang keluar dari bilik yang dikhaskan kepada mereka oleh lima anggota keselamatan yang bertugas atas alasan mereka tidak mematuhi arahan yang diberikan.

Keadaan bertambah kecoh apabila tiga petugas media iaitu jurugambar The Sun, Zulkifli Ersal, jurukamera The Edge, Khairul Hasnor Mohd. Khalili dan jurukamera Channel News Asia, Hanafiah Hamzah dipukul dan diterajang.

Kekecohan itu berpanjangan sehingga ke lobi DBP tetapi mujur polis yang berada di situ dapat mengawal keadaan dan mententeramkan orang ramai.

Polis telah meminta ketiga-tiga petugas media terbabit agar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Jurukamera The Edge, Khairul Hasnor yang cedera dihidung dan dua petugas media terbabit yang tidak cedera telah membuat laporan polis.

Dalam pada itu, semasa sesi debat bertajuk Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak berlangsung, suasana perdebatan berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Setiap pendebat diberi ruang untuk menyampaikan hujah masing-masing sambil dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaafar.

Anwar memberikan hujah sekiranya pakatan rakyat mengambil alih pemerintahan negara, harga minyak akan diturunkan kepada 50 sen seliter.

Beliau bagaimanapuun tidak mengemukakan formula menurunkan harga bahan api yang meyakinkan dan mapan pada debat khas itu.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment