25 July 2008

Pelajar histeria setiap tengah hari sejak Mei

Oleh ZULKIFLI MANZOR

KUANTAN 24 Julai – Sebuah sekolah menengah di sini diselubungi kejadian misteri apabila sebilangan pelajar perempuannya diserang histeria hampir setiap hari terutama menjelang waktu tengah hari sejak Mei lalu.

Lebih memburukkan keadaan, pada waktu rehat segelintir pelajar perempuan dikatakan mengalami sakit sendi hingga terpaksa berjalan terbongkok-bongkok seperti orang tua yang uzur dan kejadian itu dipercayai turut dialami segelintir guru wanita sekolah berkenaan.

Khuatir proses pengajaran dan pembelajaran semakin terganggu, pelbagai usaha dilakukan oleh pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur termasuk memanggil pengamal perubatan tradisional selain mengadakan sesi perjumpaan bersama ibu bapa pelajar terbabit di sekolah itu hari ini.

Ibu bapa yang ditemui selepas sesi perjumpaan itu bimbang dengan kejadian misteri tersebut dan meminta pihak bertanggungjawab segera mencari jalan mengatasi masalah berkenaan demi masa depan anak-anak mereka.

Aziz Basri, 56, bapa kepada salah seorang pelajar yang kerap terkena histeria berkata, kejadian misteri itu dikhuatiri mendatangkan risiko terhadap kesihatan pelajar selain mengganggu pembelajaran kerana ada di kalangan pelajar kerap mengambil cuti akibat kejadian itu.

Pegawai syarikat swasta itu berkata, kejadian tersebut dipercayai mula berlaku pada hujung Mei lalu dan kali terakhir kejadian berkenaan menimpa anak perempuannya semalam.

‘‘Kejadian itu berlaku berulang-kali dan setiap kali ia menimpa anak saya berusia 14 tahun, dia akan kelihatan murung dan kami risau ia menjejaskan pelajarannya,” katanya ditemui di sekolah tersebut.

Idrus Sulong, 39, pula berkata, anak perempuannya yang juga berusia 14 tahun mengalami kejadian yang sama baru-baru ini menyebabkan dia dan ibu bapa lain diminta hadir ke sekolah bagi mengadakan perbincangan bersama hari ini.

‘‘Saya dapat tahu hari ini sahaja kira-kira tiga murid perempuan mengalami kejadian misteri itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Huzair Awang Bidin ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian tersebut sambil mendakwa peristiwa misteri itu telah lama berlarutan.

Menurutnya, setiap hari antara empat atau lima murid akan diserang kejadian misteri itu walaupun pelbagai usaha seperti membaca surah Yasin dan sembahyang hajat diadakan di sekolah berkenaan.

Pengetua sekolah berkenaan bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan kepada pemberita selain mengarahkan pengawal keselamatan menghalang pemberita dan jurugambar memasuki pekarangan sekolah bagi membuat liputan.

-Utusan

No comments:

Post a Comment