Polis pantau lokasi debat Anwar-Shabery
Lokasi perdebatan isu kenaikan harga minyak antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek akan dipantau polis.
Debat itu yang diadakan di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka akan berlangsung selama 90 minit mulai 9 malam.
Polis berkata, pemantauan itu bertujuan mengelakkan tercetusnya perkara yang tidak diingini berlaku, lapor Bernama.
"Kita telah membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan malam esok," kata ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman hari ini.
Perdebatan bertajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" dijadual disiarkan secara langsung melalui TV3 dan satu saluran Astro.
Ahmad Shabery dijangka mempertahankan langkah kerajaan mengurangkan subsidi yang mengakibatkan kenaikan harga bahan api itu awal bulan lepas.
Manakala Anwar berjanji akan mendedahkan kaedahnya mengurangkan harga minyak.
"Bukan nak turun sama harga (minyak) dengan Venezuela tapi turun sekurang-kurangnya agar rakyat boleh hidup. Kita bukan janji kosong, takbur atau bohong untuk mengatasi masalah ini," katanya pada satu ceramah minggu lepas.
Mengulas sekatan jalan yang diadakan hari ini, Muhammad Sabtu berkata, operasi polis yang dikenali 'Ops Padam' itu akan diteruskan sehingga petang atau malam ini.
"Tengok pada keadaan. Jika didapati keadaan terkawal kita akan hentikan sekatan, bergantung pada keadaan jika difikirkan selamat," katanya.
Beliau berkata sekatan itu bukan bertujuan untuk menyusahkan orang ramai dan pengguna jalan raya, tetapi pihaknya terpaksa mengambil tindakan setelah menerima maklumat mengenai perhimpunan haram yang dijadulkan diadakan di sekitar kawasan bangunan Parlimen pagi tadi.
Katanya, tindakan itu merupakan satu tindakan pencegahan untuk menghindari sebarang usaha yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta boleh mendatangkan bahaya kepada nyawa dan harta benda orang ramai.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment