Bekas peguam Bala buat laporan polis
Peguam Americk Singh Sidhu hari ini membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan untuk mengetahui orang dan/atau orang-orang yang menyebabkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam menyatakan yang akuan berkanunnya dibuat secara paksa.
Dalam akuan berkanun tersebut, Balasubramaniam mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariiibuu.
Bagaimanapun, pada hari berikutnya, penyiasat persendirian itu telah menarik balik akuan berkanun pertamanya dan membuat akuan berkanun yang baru tanpa bahagian yang merujuk kepada Najib.
Americk membuat laporan itu di balai polis Brickfields kira-kira jam 2.40 petang tadi.
Dalam laporannya itu, Americk (foto) berkata beliau hadir sama ketika pengesahan akuan bersumpah tersebut yang bertarikh 1 Julai lalu, dibuat.
Beliau percaya berlaku konspirasi jenayah sehingga menyebabkan berlaku jenayah fitnah terhadapnya oleh orang dan/atau orang-orang berkenaan.
Kumpul fakta
Americk hadir di sidang akhbar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Julai lalu - yang turut dihadiri oleh Balasubramaniam - di mana akuan berkanunnya itu diedarkan kepada pihak media. Americk hadir sebagai peguam Balasubramaniam.
Dalam laporannya itu, Americk berkata beliau telah diarahkan oleh Balasubramanian (foto) berhubung pengumpulan fakta-fakta dan keadaan-keadaan yang membabitkannya (Balasubramanian) dengan kes Altantuya.
Peguam itu berkata, ia membawa kepada pengesahan akuan berkanun tersebut oleh Balasubramanian pada 1 Julai lalu.
Americk berkata, beliau hadir ketika pengesahan akuan berkanun itu dibuat dan beliau mempunyai pengetahuan mengenai fakta-fakta dan keadaan-keadaan yang membawa kepada penyediaan dan pengesahan akuan berkanun tersebut yang bertarikh 1 Julai 2008.
Dalam laporan itu lagi, Americk berkata, Balasubramanian telah mengadakan satu sidang akhbar pada 4 Julai lalu.
Katanya, beliau mengetahuinya melalui laporan-laporan media bahawa satu lagi akuan berkanun yang dibuat oleh Balasubramanian - bertarikh 4 Julai 2008 - telah diumumkan.
'Niat baik'
Menurutnya, kandungan akuan berkanun tersebut (4 Julai 2008) menganjurkan bahawa akuan berkanun pertama (yang bertarikh 1 Julai) dibuat 'secara paksa'.
Sebaliknya, Americk berkata, beliau telah menjalankan tugas mengumpulkan fakta-fakta tersebut dengan niat yang baik, yang membawa kepada penyediaan dan pengesahan akuan berkanun yang bertarikh 1 Julai 2008 dan "saya berpuas hati bahawa ia dibuat secara sukarela dan tanpa sebarang paksaan".
Menurut laporan itu lagi, Americk berkata, berasaskan kepada sebab-sebab di atas, beliau mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa akuan berkanun kedua itu, yang bertarikh 4 Julai 2008, meragukan.
Kandungan dokumen tersebut, dakwanya, mempunyai unsur-unsur jenayah fitnah terhadap dirinya secara peribadi dan profesional.
Katanya, beliau percaya ada orang dan/atau orang-orang yang telah memujuk, mengancam dan menyebabkan akuan berkanun kedua, yang bertarikh 4 Julai 2008, dibuat secara tidak sah.
Sehubungan itu, dalam laporan itu, Americk meminta supaya satu siasatan dijalankan untuk menentukan orang dan/atau orang-orang yang secara tidak sah, memujuk, mengancam dan menyebabkan Balasubramanian menyatakan bahawa akuan berkanun pertamanya, yang bertarikh 1 Julai 2008 telah dibuat secara paksa.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment