Tiada kompromi pelajar mohon tukar IPTA
Kementerian Pengajian Tinggi tidak mahu lagi berkompromi dengan pelajar yang enggan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sabah dan Sarawak, sebaliknya memohon pertukaran ke negeri lain atas pelbagai alasan remeh termasuk jauh daripada keluarga.
Timbalan Menterinya Datuk Dr Hou Kok Chung berkata terdapat persepsi membabitkan segelintir pelajar yang menganggap melanjutkan pengajian di IPTA khususnya di Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu sebagai tidak menarik, kononnya suasana kurang sesuai untuk belajar.
“Mereka menganggap Sabah dan Sarawak sebagai jauh, malah ada juga pelajar di Terengganu dan Kelantan mengatakan bahawa negeri berkenaan bukan tempat yang sesuai untuk belajar tanpa mengemukakan alasan kukuh.
“Mereka hanya mahu belajar di universiti berhampiran dengan tempat tinggal sekarang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang mengandungi senarai 666 nama pelajar yang gagal ke IPTA dan tidak mendapat kursus yang dipohon walaupun mendapat keputusan yang baik pada peperiksaan lepas.
Daripada jumlah itu, sebanyak 131 orang terdiri daripada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) adalah 3.0 ke atas.
MCA dan SUPP berharap Kementerian Pengajian Tinggi dapat mencari punca mengapa pelajar berikut tidak mendapat tempat di IPTA ataupun tidak mendapat kursus yang dipohon seperti dalam borang UPU.
Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Dr Wee Ka Siong berkata pihaknya juga tidak akan melayan sebarang permohonan sama ada daripada ibu bapa atau pelajar yang meminta bantuan bertukar ke IPTA berdekatan tempat tinggal.
Beliau turut menyelar pelajar daripada semenanjung yang menganggap IPTA di Sabah dan Sarawak tidak setanding IPTA di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Saya nak tegaskan mana-mana pelajar yang tidak mahu ke Sabah dan Sarawak untuk melanjutkan pengajian adalah tidak mencerminkan semangat Malaysia, kita tak boleh kata Sabah itu jauh...saya tak akan melayan permintaan daripada ibu bapa atau pelajar yang datang kepada Biro MCA kerana ia tidak munasabah.
“Jarak bukan satu kekangan, saya rasa perlu berlaku adil kepada kementerian...saya pernah tanya pelajar kalau saya bagi ke London, pelajar itu kata boleh...tapi kenapa tak boleh kalau pergi Sabah,” katanya.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment