BERITA pemergiannya ke tanah suci Mekah untuk menunaikan umrah kali ke dua telah tersebar dengan luasnya. Pengacara popular kesayangan ramai itu meluangkan masa hampir dua minggu untuk menjadi tetamu di Mekah dan Madinah dan baru saja pulang.
Dan baru-baru ini seorang rakan yang terserempak dengan Aznil Nawawi bersama pengurusnya di bangunan Tabung Haji.
Apakah benar khabar yang menyapa ditelinga, Aznil bakal mengerjakan haji penghujung tahun ini? Itulah khabar yang sampai, bagaimanapun diminta mengulas mengenai perkara itu, Aznil memulangkan semuanya kepada keadaan.
Dengan tenang Aznil tidak menafikan dia ada berurusan dengan Tabung Haji baru-baru ini bagi menguruskan perkara seterusnya kerana dia memang sudah memasang niat untuk mengerjakan haji selepas menunaikan umrah.
Tidak mahu dianggap riak, Aznil hanya mengatakan cita-cita untuk menunaikan haji sudah lama tersemat di hatinya. Namun kerana namanya masih belum disenaraikan untuk menunaikan haji penghujung tahun ini, dia menggunakan masa terluang itu untuk menunaikan umrah buat kali kedua.
“Saya harap nama saya naiklah tahun ini untuk bersama rombongan lain menunaikan haji. Niat saya untuk tunaikan haji sudah lama dan Alhamdulillah rezeki pun sudah ada. Jadi saya sangat berharap dapat menunaikan rukun Islam ke lima itu.
“Cuma sekarang tunggu saja untuk nama saya disahkan. Saya harap dapat pergi secepat mungkin, kalau saya pergi saya akan pergi sendirian,” ujarnya yang tidak mahu mengulas panjang tentang perkara berkenaan. Mungkin tidak mahu disalah tafsirkan, Aznil senang merencana masa depannya sendiri dan membiarkan segalanya sebagai agenda peribadi.
Bercakap tentang masa depan, jika dia sudah bergelar seorang haji mungkinkah dia berhenti daripada industri hiburan dan melakukan pekerjaan yang lain pula.
Menjawab kepada kenyataan itu, Aznil mengatakan dia akan terus setia berada dalam industri hiburan tempatan memandangkan itulah cintanya yang berjaya menjadikannya seperti Aznil yang dikenali khalayak hari ini.
“Industri hiburan yang memberi saya makan dan ia merupakan sumber rezeki saya dan membuatkan saya mampu untuk menjejakkan kaki ke tanah suci.
“Malah, inilah bakat yang Allah kurniakan pada saya. Jadi selagi diizinkan oleh Allah, saya tidak akan berhenti atau bertukar pada kerja yang lain,” ucapnya jujur.
Selepas menunaikan umrah buat kali kedua, pastinya dia merasakan perubahan yang berlaku dalam dirinya, dan Aznil dengan ringkas mengatakan kini dia merasakan dirinya lebih tenang dan rasa lebih dekat dengan Allah.
“Saya berhasrat untuk menjadi insan yang rapat Allah. Perubahan yang lain biarlah antara saya dan Allah saja yang tahu, tidak perlulah untuk saya menceritakan semuanya kepada orang lain,” balasnya minta dimengertikan.
Tambahnya lagi sepanjang 5 hari berada di Mekah dan selebihnya di Madinah dia hanya di temani oleh seorang mutawif persendirian.
“Syukur sebab semuanya berjalan lancar, pengalaman menunaikan umrah dulu banyak membantu saya kali ini dan apabila berada di sana suasananya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
“Apa yang saya harapkan, dengan pemergian saya ke sana akan membuka pintu hati dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk ke sana,” ucapnya penuh yakin.
Katanya lagi, sepanjang berada di sana, dia lebih banyak melakukan umrah pada waktu malam memandang cuaca pada siang hari begitu panas dan ada kalanya mencecah 48 darjah celsius.
Selain itu, Aznil juga mengatakan dirinya cukup bertuah kerana sepanjang berada di sana, dia langsung tidak teringatkan kerja yang melambak ditinggalkan di Malaysia.
“Waktu itu, saya hanya fikirkan ibadat dan rasanya saya lebih tenang kerana perjalanan kali kedua ini lebih mudah.
“Ketika di sana waktu subuhnya begitu cepat, selepas solat Isyak, saya terus menunaikan umrah. Kemudian balik ke bilik sebentar dan terus solat Subuh pula,” ceritanya lagi tentang pengalamannya.
Kenangan bersama si comel
Berbicara mengenai pengalaman manisnya ketika mengerjakan umrah pada awal Julai lalu, Aznil pada mula ketawa sambil berkata kanak-kanak di sana sungguh comel.
“Apa yang seronoknya, kanak-kanak di sana comel-comel sangat. Mereka datang dari pelbagai negara. Rasanya mereka tidak pun tengok Tom Tom Bak, tetapi mungkin saya aura saya dekat dengan kanak-kanak (ketawa) mereka boleh jadi suka dengan saya.
“Ada yang datang duduk di pangkuan saya, ada yang tiba-tiba datang dan cubit pipi saya, macam-macam lagi. Saya tidak kisah kerana kita tahu kanak-kanak adalah rezeki dan saya rasa seronok bertemu dengan mereka,” kata Aznil lagi.
Bertemu peminat
Sudah menjadi lumrah, kalau selebriti terkenal pergi kemana sekali pun mereka akan disapa orang ramai, begitu juga halnya dengan Aznil.
Semasa menunaikan umrah, dia telah bertemu dengan rakyat Malaysia di sana dan suasana sedikit berbeza ketika bertemu peminat di Malaysia.
“Iyalah, peminat yang jumpa saya di sana cakap, Malaysia punyalah besar tetapi jumpa saya di Mekah. Saya faham, mestilah mereka seronok.
“Malah, ada yang menganggap itu hadiah Allah kerana bertemu saya. Sebagai manusia, itu yang membuatkan saya terharu sebab mereka minat serta hormat.
“Cuma kalau di Malaysia mereka akan berkejar untuk dapatkan tanda tangan, tetapi di sana suasananya lebih tenang kerana kami semuanya sama di sisi Allah dan datang ke sana dengan tujuan yang sama iaitu untuk beribadah,” terang Aznil lagi.
Sekembalinya dari Tanah Suci kepulangannya disambut dengan gembira oleh rakan serta peminatnya.
Kata Aznil, ada rakan serta peminat yang mendoakan pemergiannya ke sana, malah ada juga yang mengirim doa dan bersyukur kalau doa yang dipinta di makbulkan Allah.
Kini, dia kembali sibuk menjalankan aktiviti seni dan kerjayanya seperti biasa, dan yang pasti menurutnya semangat untuk dia kembali bekerja tidak pernah berkurangan malah semakin berganda terhadap rezeki yang diberikan kepadanya.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment