Mahkamah Tinggi Tetapkan 9 Julai Sebutan Kes Semakan Kehakiman Oleh Ketua Paderi
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama)-- Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Julai ini bagi sebutan kes permohonan semakan kehakiman oleh Ketua Paderi Kuala Lumpur berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melarang penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan "The Herald-Catholic Weekly".
Hakim Lau Bee Lan turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan empat majlis agama Islam negeri dan Majlis Gurdwara Malaysia yang mewakili masyarakat Sikh, yang memohon untuk menjadi pencelah dan seterusnya dinamakan sebagai responden dalam kes semakan kehakiman tersebut.
Empat majlis agama Islam negeri tersebut adalah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).
Pada 5 Mei lepas, Mahkamah Tinggi memberikan kebenaran kepada Ketua Paderi Kuala Lumpur untuk memohon semakan kehakiman terhadap keputusan KDN yang melarang penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan mingguan tersebut.
Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Datuk Murphy Pakiam, selaku penerbit The Herald, dinamakan sebagai pemohon dalam tindakan itu, manakala KDN dan kerajaan dinamakan sebagai responden.
Dalam permohonan itu yang difailkan pada 19 Mac lepas, Ketua Paderi memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan kementerian bahawa "permit penerbitan itu perlu mematuhi garis panduan penerbitan, yang melarang penggunaan perkataan "Allah" dalam The Herald, dalam surat bertarikh 12 Feb lepas sebagai batal dan tidak sah.
Ketua Paderi juga memohon perisytiharan bahawa perkataan "Allah" boleh digunakan dalam The Herald dan tidak hanya eksklusif untuk Islam.
-- BERNAMA
Sila ke http://www.turn2islam.blogspot.com
No comments:
Post a Comment