Saya yakin ada kes - Peguam Saiful...bapa pertikai sikap dolak dalik Anwar
Suasana lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur yang selama ini tenang menjadi ‘panas’ dengan kehadiran puluhan wartawan dalam dan luar negara apabila buat pertama kalinya secara terbuka pihak keluarga Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya mengadakan sidang media pada jam 4.30 petang.
Lebih panas apabila peguam Zamri Idrus secara terbuka menegaskan, secara peribadi setelah meneliti semua fakta, beliau yakin memang adanya kes yang melibatkan Anwar dalam isu liwat tersebut.
“Saiful adalah anak guam saya, sebagai peguamnya saya memang yakin berdasarkan keterangan Saiful kepada saya,” katanya ketika ditanya adakah beliau yakin adanya kes terhadap dakwaan yang dibuat oleh Saiful terhadap Anwar.
Katanya itu adalah pandangan peribadinya mengenai kes itu dan terserah kepada siasatan polis untuk menentukan kedudukan sebenar.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah bapa saudara Saiful (baju T merah) yang hanya mahu dikenali sebagai 'Uncle Pet'.
Zamri membacakan kenyataan media yang dibuat oleh bapa Saiful,Azlan Mohd Lazim.
Sidang media tersebut yang bertukar seolah-olah menjadi sesi ‘perbicaraan’ turut menyaksikan isu sama ada laporan polis itu benar-benar wujud atau tidak ekoran kenyataan Anwar yang mempertikaikan sehingga kini beliau tidak mendapat salinan laporan polis berkenaan.
Zamri berkata, laporan polis memang telah dibuat dan beliau sendiri telah melihat salinan laporan polis tersebut.
Terdahulu semasa membaca kenyataan bapa Saiful itu mendesak supaya Anwar memberikan kerjasama kepada polis untuk menyegerakan siasatan termasuk memberikan kerjasama untuk membolehkan ujian DNA dijalankan.
Menurut Azlan, sikap berdolak dalik Anwar telah menyebabkan siasatan tersebut tidak dapat disegerakan dan mendesak pihak berkuasa agar segera menyelesaikan siasatan kes berkenaan dan membawa indvidu yang terbabit dalam kes berkenaan ke muka pengadilan.
Azlan juga dalam kenyataannya itu berkata, anaknya Saiful bersedia untuk bersumpah bersumpah menurut cara Islam yang di mana-mana masjid dengan disaksi ulama untuk menegakkan kebenaran.
Bagaimanapun katanya, sumpah berkenaan hanya boleh dibuat setelah pihak polis menyelesaikan siasatannya.
Ketika ditanya adakah Saiful seorang gay (homoseksual), Zamri menegaskan anak guamnya bukan terdiri daripada golongan tersebut.
Ditanya, adakah benar Saiful kini dalam jagaan polis, peguam itu berkata, saiful kini bukan dalam jagaan polis tetapi dalam perlindungan polis untuk menjamin keselamatannya.
Selain persoalan berkenaan, wartawan juga bertanya kenapa bapa Saiful sendiri tidak tampil untuk membuat kenyataan berkenaan, Zamri berkata, buat masa ini bapa Saiful mempunyai komitmen lain dan pihaknya diminta untuk berbuat demikian.
www.agendadaily.com
No comments:
Post a Comment