Saya merujuk kes kematian anak tahanan ISA, Aina Mardiah Shahrial. Menyirap darah saya bila dapat tahu pihak Cawangan Khas dan Kem Tahanan Kamunting sengaja melengah-lengahkan perjalanan pulang Shahrial yang sudah ditahan tujuh tahun, hingga menyebabkan si bapa yang malang itu tidak dapat menemui anaknya yang terlantar di Hospital Kajang. Kita mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan mengapa tahanan ISA itu begitu sukar untuk melawat anaknya yang sedang koma itu? Apa prosedur yang menghalang KDN memberikan kelulusan secepat mungkin selepas mendapat makluman bahawa Aina Mardiah dalam keadaan tenat?
Peraturan gila apa yang menyebabkan Shahrial begitu sukar untuk balik segera walaupun pihak Kemta sudah dimaklumkan sejak petang Rabu lagi? Apakah semuanya kena mendapat perkenan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar sebelum tahanan Kamunting boleh menziarahi anaknya yang berada dalam keadaan cukup kritikal?
Lebih menyakitkan hati saya apabila pihak SB melakukan pembohongan apabila memaklumkan kepada keluarga Almarhumah Aina bahawa Shahrial bertolak dari Kamunting pada jam 1 tengahari, dan sepatutnya boleh tiba di Kajang lebih kurang jam 5-6 petang. Ironisnya, Aina menghembuskan nafas terakhir lebih kurang jam 6.20 petang dan bapanya hanya tiba jam 9.40 malam.
Gambar menunjukkan anak kedua Shahrial, Ehsan, 16 tahun, memapah adik perempuannya yang hampir pengsan selepas kakaknya disahkan meninggal dunia.
www.detikdaily.net
No comments:
Post a Comment