05 July 2008

Kes Imam di dera hingga mati di selatan Thailand

Tentera Thai sorok kes bunuh imam

Pertubuhan hak asasi dakwa siasatan kematian dihalang

BANGKOK: Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) menuduh pihak tentera Thailand berkemungkinan merahsiakan penderaan dan pembunuhan seorang imam, Yapa Koseng, 56 tahun.

Akhbar The Nation melaporkan semalam, HRW yang berpejabat di New York mendakwa pihak tentera cuba menghalang proses siasatan rasmi di atas kematian lelaki berkenaan.

Kes itu, kata HRW, turut membangkitkan permasalahan mengenai layanan buruk diterima penduduk Muslim ketika dalam tahanan tentera yang memerangi konflik di Selatan Thailand.

Pakar forensik memberitahu sebuah mahkamah pada 30 Jun lalu yang kematian Yapa disebabkan pukulan objek tumpul yang menyebabkan tulang di beberapa bahagian badannya, retak. Kesan lebam turut ditemui hampir di seluruh badannya termasuk mata, dahi dan bibirnya.

Ia turut mengingatkan Panglima Tentera, Jeneral Anupong Paochinda yang kredibilitinya sebagai pemimpin pasukan berpengaruh itu menjadi taruhan kerana sudah mengeluarkan kenyataan untuk memastikan kes pembunuhan imam itu mendapat keadilan sewajarnya.

"Kes imam Yapa bakal menguji tentera Thailand sama ada ia boleh mensabitkan pendera yang juga anggota pasukan keselamatan itu," kata Pengarah Human Rights Watch Asia, Brad Adam.

"Jeneral Anupong sudah membuat kenyataannya. Kami akan melakukan susulan dan melihat sama ada beliau membenarkan kes itu dirahsiakan atau membawa pembunuhnya ke muka pengadilan."

Mejar Wich Phuthong yang juga komander pasukan TF 39 yang terbabit dalam kematian Yapa, memberitahu jawatankuasa penyiasat yang beliau tidak tahu siapa yang mendera dan membunuh Yapa ketika ditahan pada 20-21 Mac lalu. - Agensi

No comments:

Post a Comment