Aksi tikam jadi tontonan ramai
AMPANG: Kejam dan tidak berhati perut. Hanya itu yang boleh dikatakan apabila seorang lelaki maut selepas bertarung nyawa selama tiga jam akibat ditikam di dada oleh dua penyamun dalam satu kejadian di persimpangan lampu isyarat di Taman Bakti, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang, mangsa, Kok Song Sam, 38, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menutup restorannya di Lembah Maju di sini, sebelum memberhentikan motosikal apabila tiba di lampu isyarat terbabit.
Ketika itu, mangsa yang tinggal di Taman Cahaya tidak menyedari dia diekori dua lelaki yang turut menunggang motosikal sebelum secara tiba-tiba menghampirinya dan cuba merampas beg pinggang miliknya.
Tindakan penyamun terbabit menyebabkan mangsa dan dua lelaki terbabit terjatuh sebelum berlaku pergelutan antara mereka.
Difahamkan, ketika itulah mangsa secara kejam ditikam seorang daripada penyamun terbabit selepas dia cuba melawan untuk mempertahankan diri dan mengelak beg pinggangnya dirampas.
Keadaan ketika itu menjadi kecoh apabila pengguna jalan raya lain memberhentikan kenderaan masing-masing selepas melihat mangsa yang berlumuran darah terdampar di tepi jalan sebelum kedua-dua penyamun yang panik itu melarikan diri.
Seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang yang berpakaian preman turut berada di tempat kejadian sebelum cuba mengejar kedua-dua penyamun terbabit dan turut meminta pertolongan daripada orang awam.
Bagaimanapun, dia yang menjerit memperkenalkan diri sebagai polis hanya dilihat oleh orang awam tanpa diberikan sebarang bantuan dan hanya sempat merampas sarung pisau yang digunakan kedua-dua penyamun terbabit sebelum mereka yang menaiki motosikal Yamaha RXZ memecut laju.
Mangsa yang berlumuran darah dibawa orang awam ke Hospital Ampang dan dimasukkan ke wad kecemasan.
Selepas tiga jam mendapatkan rawatan, mangsa mati dipercayai akibat kehilangan darah yang banyak.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mangsa yang berniaga sebagai penjual mi kemungkinan diekori dua penyamun terbabit selepas dia menutup kedainya.
“Hasil siasatan awal, kami dapati dua suspek terbabit memakai pakaian gelap dan menunggang motosikal Yamaha RXZ.
“Motif kejadian ini ialah samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Abd Jalil, pihaknya kesal kerana orang awam yang ketika itu berada di lokasi kejadian tidak membantu anggota polis yang meminta bantuan untuk memberkas kedua-dua penyamun terbabit, sebaliknya hanya melihat peristiwa itu.
“Jika orang ramai membantu mengepung kedua-dua suspek, kemungkinan mereka dapat diberkas kerana ketika itu seorang anggota polis memeperkenalkan dirinya dan meminta petolongan daripada orang awam.
“Namun, mereka hanya melihat tanpa memberikan sebarang pertolongan dan selepas kejadian barulah semuanya menghampiri melihat keadaan mangsa,” katanya dengan nada kesal.
Mayat mangsa akan dibedah siasat hari ini.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment