Bayaran ex-gratia tetap tidak didedah – Zaid
Kerajaan tetap tidak akan mendedahkan jumlah ex-gratia yang dibayar kepada enam bekas hakim yang dipecat semasa krisis badan kehakiman dua dekad lalu walaupun menerima desakan daripada pelbagai pihak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim sebaliknya berharap semua pihak dapat menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat itu.
``Biar apa pun, persetujuan telah dibuat untuk tidak mendedahkan jumlahnya. Ini seperti mana yang saya jelaskan beberapa kali sebelum ini iaitu berdasarkan permintaan bekas hakim-hakim itu sendiri.
``Mereka (bekas hakim) buat permintaan, jika kerajaan hendak beri (bayaran ex-gratia) jangan pula ia didedahkan kepada umum. Sebab itu kita tidak boleh beritahu kerana kita dah bersetuju dengan mereka.
``Lagi pun mereka ini semua dah tua, ada yang 85 tahun, 82 tahun dan yang telah meninggal dunia pula, keluarga mereka turut membuat permintaan yang sama. Jadi tak bolehkah kita hormatinya,'' katanya.
Zaid berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak termasuk beberapa anggota Dewan Rakyat pada sesi penggulungan perbahasan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) malam tadi supaya didedahkan jumlah bayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim itu.- Utusan.
No comments:
Post a Comment