17 July 2008

Hizbullah serah dua keranda kepada Israel

Hizbullah serah dua keranda kepada Israel

Pertukaran banduan mengikut fasa pertama PBB

NAQURA (Lubnan): Pergerakan Hizbullah semalam menyerahkan dua keranda kepada Israel yang mengandungi mayat dua askar negara Yahudi itu, Ehud Goldwasser dan Eldad Regev, yang ditawan kumpulan itu dua tahun lalu.

Penyerahan di bawah usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menjadi fasa pertama pertukaran banduan bagi dua pihak berbalah itu yang disambut keraian di Lubnan tetapi sebaliknya mencetuskan suasana suram di Israel.

Sebagai balasan, Israel menyerahkan lima tahanan Lubnan dan mayat kira-kira 200 pejuang negara Arab itu. Persetujuan itu turut membabitkan gesaan supaya Israel membebaskan pejuang Palestin pada tarikh lain.

Goldwasser dan Regev, ditawan dalam pertempuran maut Israel dan Hizbullah di sempadan pada Julai 2006 yang turut mencetuskan konflik 34 hari di Lubnan dan meragut 1,200 nyawa di negara Islam itu dan 160 lain di Israel.

Tel Aviv sudah lama menjangkakan mereka sudah mati dan Hizbullah tidak pernah mengesahkan keadaan diri askar berkenaan.

Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengambil alih tugas menyelia keranda dua askar wataniah Israel dan membawa mereka ke kawasan menyeberangi sempadan ke negara Yahudi itu.

Pakar forensik negara Yahudi itu segera mengesahkan mayat Goldwasser dan Regev itu, kata jurucakap tentera Israel.

Sebaik identiti mereka disahkan, Israel menyerahkan lima tahanan Lubnan kepada Hizbullah, termasuk seorang anggota disifatkan Yahudi sebagai kejam, Samir Qantar. Empat anggota lain Hizbullah adalah Khaled Zidan, Maher Kurani, Mohammed Sarur dan Hussein Suleiman.

"Hari ini kita menyerahkan mayat Ehud Goldwasser dan Eldad Regev," kata pegawai Hizbullah, Wafiq Safa di Naqura, lintasan sempadan Lubnan Israel ketika keranda itu diletakkan di atas tanah dan dikelilingi orang ramai.

"Di sebalik serangan ke atas kami serta sekatan antarabangsa bagi mendedahkan nasib dua askar itu, tiada siapa pun yang mengetahuinya sehinggalah ke hari ini,"

"Israel kini menyerahkan pejuang Mujahidin yang amat disegani, Samir Qantar dan rakannya kepada ICRC," katanya. – AFP/AP

Qantar menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana kematian empat rakyat Israel, termasuk seorang budak perempuan empat tahun dan bapanya dalam serangan pejuang Palestin ke bandar Israel pada 1979.

Sementara itu di Israel, jiran dan anggota keluarga di rumah askar Yahudi menangis sebaik melihat imej keranda mereka di kaca televisyen.

"Ia hanya meningkatkan lagi motivasi untuk terus melindungi negara ini dan membuktikan siapakah musuh yang sedang kami hadapi," kata jiran, Shlomo Laniado yang turut berkhidmat dalam pasukan wataniah tentera Israel, kepada stesen televisyen Channel Two.

Ramai rakyat Israel mempertikaikan usaha pertukaran itu yang didakwa hanya mendatangkan risiko lebih tinggi kepada dua pihak yang saling bermusuhan itu.

Namun Lubnan sebaliknya sudah menyediakan sambutan kepulangan wira besar-besaran dengan kain rentang dan bendera menghiasi laluan dari Naqura manakala Kabinet mengisytiharkan semalam sebagai cuti umum.

'Lubnan menitiskan air mata gembira. Israel yang menangis kedukaan," tulis satu sepanduk di sempadan yang mana 200 orang menunggu di bawah pokok untuk menyambut kepulangan orang tersayang, biarpun dalam bentuk jenazah.

http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment