24 July 2008

DAP diingat agar mertabatkan bahasa kebangsaan

Nama jalan Georgetown jejas BM

PAS membantah penamaan jalan dengan pelbagai bahasa di Georgetown dengan alasan ia "menjejaskan reputasi Bahasa Malaysia".

"Walaupun niat untuk mempromosikan warisan sejarah nama tersebut bersesuaian dengan ciri-ciri budaya di kawasan itu, namun kegunaan bahasa lain daripada bahasa kebangsaan akan menjejaskan reputasi Bahasa Malaysia," kata pengerusi perpaduan nasional PAS Dr Mujahid Yusof Rawa.

"Saya menyeru kepada pihak berkuasa tempatan menolak keputusan ini bagi memartabatkan bahasa kebangsaan dan mendesak kerajaan Pulau Pinang membatalkan hasrat untuk menulis dalam bahasa lain daripada bahasa kebangsaan."

Dr Mujahid, yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, menyifatkan keputusan menambah bahasa-bahasa Cina dan Tamil di papan-papan tanda bandar raya itu "menggadaikan martabat bahasa kebangsaan".

"Lagipun sejarah budaya pada sesuatu tempat telah diserapkan dalam budaya kita dan nama yang digunakan walaupun dari perkataan dari bahasa lain, ia tetap menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan.

"Oleh itu tidak perlu untuk menuliskannya dalam bahasa selain yang diterima pakai oleh bahasa kebangsaan," katanya.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment