Anwar Tidak Dikasari Ketika Ditahan, Kata Wan Ahmad Farid
KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dikasari ketika ditahan polis hari ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Beliau berkata ketika ditahan, Anwar memberi kerjasama dan memasuki kereta polis secara sukarela.
"Ketika ini Anwar dalam tahanan, tetapi sebelum ditahan beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis.
"Saya rasa tidak ada kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Mengulas mengenai bantahan Anggota Parlimen PKR terhadap penahanan Anwar yang dikatakan sebagai tidak berperikemanusiaan, beliau berkata penahanan itu tidak bercanggah dengan undang-undang kerana waran sudah dikeluarkan untuk tujuan berkenaan.
"Anggota pembangkang tidak pernah bersetuju dengan sebarang tindakan polis. Waran tahanan sudah dikeluarkan dan polis melakukan apa yang sepatutnya.
"Walau apapun, Anwar memberi kerjasama dan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.
Beliau berkata Anwar tidak sepatutnya kembali ke rumah selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), sebaliknya harus terus pergi ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPPKL) sebelum pukul 2 petang.
"Anwar sepatutnya terus pergi ke IPPKL, tetapi terus pulang ke rumah. Apa bezanya 20-30 minit. Waran tangkap dah dikeluarkan," katanya ketika mengulas mengenai penahanan Anwar sebelum pukul 2 petang iaitu tempoh yang diberikan oleh polis bagi Anwar hadir di IPPKL bagi membantu siasatan berhubung tuduhan liwat ke atasnya," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment