26 July 2008

Bukan masalah Inul tapi 'goyang' boleh bikin ribut

Konsert Inul batal lagi

KUALA LUMPUR 25 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan permit konsert ratu dangdut Indonesia, Inul Daratista (gambar) yang dijadual berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di sini Ahad ini.

Pengarah Urusan IMS Prima Sdn. Bhd., Nasir Abu Bakar berkata, pembatalan yang dibuat pagi ini sangat mengecewakan syarikat itu kerana Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar (Puspal) telah meluluskan penganjuran konsert tersebut.

Beliau berkata, ekoran pembatalan dua kali berturut-turut persembahan Inul selepas konsert Inul Live In Johor Bahru yang menerima nasib serupa minggu lalu, syarikatnya kini mengalami kerugian terkumpul RM800,000.

“Kami menerima arahan pembatalan konsert itu daripada DBKL atas alasan keselamatan dalam negara. Kalau sudah itu alasannya, tiada apa lagi yang boleh saya katakan,” kata Nasir ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Konsert Inul, 29, di Johor Bahru dibatalkan pada saat-saat akhir minggu lalu kerana tidak mendapat persetujuan pelbagai jabatan kerajaan di Johor.

“Apabila batal di lokasi pertama, kami mengalami kerugian lebih RM300,000. Kini batal lagi di lokasi kedua, maka bertambah lagi kerugian kami,” ujarnya.

Ditanya reaksi Inul mengenai pembatalan kali kedua konsertnya, Nasir menjelaskan, beliau masih belum menghubungi penyanyi itu yang terkenal dengan tarian yang dipanggil ‘Goyang Gerudi’ Inul.

Menurut Nasir, para peminat Inul yang telah membeli tiket konsert boleh menukar tiket tersebut di kaunter tiket-tiket itu dibeli untuk mendapatkan semula wang masing-masing.

Dua tahun lalu, Inul pernah dibenarkan membuat persembahan di Stadium Merdeka dan Genting Highlands. Kedua-dua konsert itu mendapat sambutan baik tanpa sebarang insiden yang memalukan.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment