23 July 2008

Budaya kahwin cerai di kalangan artis | Mawi perlu lebih berwaspada

Penyanyi terkenal, Asmawi Ani, 27, atau Mawi masih terus mendiamkan diri dan berteka-teki berhubung perancangannya untuk berkahwin dengan pelakon, Nora Asikin Rahmat, 29.

Mawi yang ditemui pemberita pada satu majlis di ibu negara hari ini sekadar menjelaskan pihaknya akan mengadakan sidang akhbar khas selepas Hari Raya Aidilfitri nanti untuk mengumumkan tentang hal tersebut.

"Saya tidak mahu ada media yang ketinggalan. Insya-Allah, saya akan jelaskan segalanya selepas Aidilfitri ini dengan semua media.

"Bukan liat untuk beritahu tentang soal perkahwinan buat masa ini, tetapi saya mahu pastikan yang saya sudah betul-betul bersedia terlebih dahulu," katanya.

Mawi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang mengatakannya bakal menamatkan zaman bujang bersama Nora Asikin atau Ekin pada 21 Disember ini.

Laporan itu antara lain menyebut Mawi dikatakan sudahpun memohon cuti panjang daripada pengurusan Maestro Records pada pertengahan bulan itu.

Pada Mac lalu, Mawi mengakui Ekin adalah wanita paling istimewa dalam hidupnya setelah sekian lama berteka-teki mengenai hubungannya dengan pelakon tersebut.

Menurut Mawi, dalam soal urusan perkahwinan, pihaknya berkemungkinan tidak akan melakukan majlis pertunangan.

"Mungkin akan nikah terus. Itu lebih baik. Saya akan buat perkara wajib sahaja. Saya juga tidak mengimpikan untuk menganjurkan majlis perkahwinan secara besar-besaran," jelasnya.

Ditanya mengenai persiapan serta kursus kahwin, juara Akademi Fantasia musim ketiga itu tetap enggan mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap persoalan itu.

"Dari awal saya sudah beritahu, segalanya akan saya jawab dalam sidang akhbar khas nanti. Saya tidak mahu kecoh-kecoh. Tunggulah. Dalam sidang akhbar itu nanti, Ekin mungkin akan ada sama," tambahnya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment