Pelantikan JKKKP haram, bercanggah dengan perlembagaan
Semua ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri di seluruh Perak dengan dibantu seluruh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) diingatkan supaya melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya tanpa merasa tertekan dengan kewujudan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang dilantik kerajaan pusat.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum berkata, JKKK yang diketuai Pengerusinya sebagai ketua kampung dilantik secara sah mengikut undang-undang di bawah peruntukan perlembagaan negeri, manakala JKKKP adalah pimpinan peringkat akar umbi yang haram.
Katanya, pelantikan JKKKP adalah haram mengikut undang-undang perlembagaan negeri, malah perlembagaan negara.
Justeru, katanya JKKK tidak perlu merasa ada tekanan, malah jalankan tugas dengan betul, selesaikan pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat, tunai segala amanah yang dipertanggungjawabkan dan berikan perkhidmatan sebaik-baiknya kepada rakyat.
"Dari segi undang-undang, yang sah ialah JKKK sebab dipilih oleh kerajaan negeri, manakala JKKKP adalah sesuatu yang haram sebab bercanggah dengan perlembagaan negara sendiri dan semua ketua kampung dan JKKK perlu memahami perkara ini.
"Oleh itu laksanakanlah tugas dengan baik dan berkesan tanpa merasa bimbang dan takut," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lenggong di Markas PAS Lawin dekat sini baru-baru ini.
Roslan berkata, semua ketua kampung dan JKKK perlu menghadapinya, termasuk JKKKP sendiri dengan cara yang terbaik, berhikmah dan berbincang di samping menunjukkan cara kepimpinan yang terbaik supaya dapat meyakinkan rakyat bahawa kita boleh dan mampu memimpin.
Katanya, dalam soal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat soal kewangan tidak boleh dijadikan alasan, walaupun peruntukan untuk JKKKP lebih banyak sebab daripada kerajaan persekutuan, manakala JKKK hanya daripada kerajaan negeri.
JKKKP diwujudkan dengan peruntukan wang rakyat walaupun datangnya daripada kerajaan persekutuan yang disalurkan melalui Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional.
Mengenai pelantikan ketua kampung di seluruh negeri, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Perak, difahamkan semuanya telah selesai dan pelantikan melalui pilihan raya itu telah berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah yang besar.
"Mengenai pemilihan ketua kampung, inilah pertama kali dalam sejarah di Perak diadakan pilihan raya untuk memilih ketua kampung yang memangnya tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Inilah sebenarnya peraturan dan prosedur yang ada dalam perlembagaan negeri, di mana pemilihan ketua kampung dipulangkan kepada rakyat," katanya.
Roslan berkata lagi, hanya Umno selama ini memilih ketua kampung mengikut cara mereka sendiri, di mana pemilihannya dibuat atau ditaja atau dicadangkan oleh pimpinan atasan mereka sendiri dan ia sebenarnya menyalahi undang-undang.
www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment