05 July 2008

Alangkah baiknya polis dikerah cegah jenayah

Perompak larikan barang kemas RM350,000

KUALA LUMPUR 4 Julai - Tiga lelaki bertopengkan stokin dan bersenjata mengambil masa kurang dua minit untuk melarikan barang kemas bernilai RM350,000 dari sebuah kedai emas di South City Plaza, Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Dalam rompakan pada pukul 12.45 tengah hari itu, ketiga-tiga penjenayah itu memasuki premis tersebut melalui pintu belakang sebelum melarikan 11 dulang barang kemas.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 38, berkata seorang daripada perompak itu bersenjatakan pistol dan seorang lagi memegang kapak, memaksa seorang pekerja memasukkan barang kemas ke dalam beg.

"Walaupun saya memanggil seorang pengawal keselamatan bangunan tersebut untuk memberitahunya mengenai rompakan itu namun dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana perompak itu telah mengacukan pistol ke arahnya sebelum melarikan diri," kata Chan kepada pemberita.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asistan Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, perompak-perompak itu melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan di belakang bangunan itu.

"Polis menjumpai stokin di belakang plaza tersebut yang dipercayai milik suspek," katanya.

Seorang lagi saksi, Saiful Bahrin, 34, berkata dia ternampak tiga lelaki berkenaan sedang berlari membawa sebuah beg dan hanya menyedari tentang rompakan itu apabila menerima panggilan telefon daripada isterinya yang sedang membeli belah di situ.

"Saya tidak nampak langsung muka mereka kerana mereka berlari laju serta tidak memalingkan muka ke arah saya," katanya.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment