Minum air mandi ketua
KUALA LUMPUR: Pelbagai bunyian aneh termasuk suara wanita meraung dan menangis tersedu-sedu yang sering memecah kesunyian malam, membongkar kegiatan satu kumpulan dipercayai mengamalkan ajaran sesat di sebuah taman perumahan di pinggir ibu kota.
Bunyi itu sering didengar jiran sebuah rumah teres satu tingkat di taman berkenaan selepas tengah malam hampir setiap hari, menimbulkan kecurigaan sebelum mereka melakukan siasatan dan mendapati kediaman itu menjadi markas Ajaran Abdul Rahman yang dipercayai sesat.
Siasatan lanjut penduduk yang turut disertai wartawan Harian Metro, mendapati kumpulan yang juga dikenali sebagai Ajaran Rahim dipercayai bertapak di situ beberapa tahun lalu selepas berpindah dari Kampung Sungai Mulia, Gombak berikutan markasnya diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), empat tahun lalu.
Namun, kegiatan itu tidak dapat dihidu penduduk setempat berikutan kelicikan pemimpin dan pengikut ajaran berkenaan bergerak secara senyap dan menutupinya dengan pelbagai helah.
Siasatan mendapati, kumpulan itu mengamalkan beberapa amalan pelik termasuk menyuruh pengikut meneguk air mandi ketua sebagai satu cara supaya mereka menuruti segala perintah pemimpin tanpa banyak soal.
Menurut penduduk dikenali sebagai Husainy, 46, antara yang menimbulkan curiga ialah ketua mereka mencanangkan kepada pengikutnya bahawa hanya dia berhak mengutip zakat dan menghairankan juga apabila kata-kata itu terlalu mudah diikuti.
Husainy yang juga anak kariah masjid taman perumahan itu berkata, dia dan jiran turut mendengar bunyi pelik hampir setiap hari dari rumah itu.
Bagi memastikan kesahihan dakwaan Husainy, wartawan Harian Metro melakukan pengintipan di sekitar kawasan rumah itu dan mengalami sendiri beberapa kejadian aneh.
Pada hari pertama 22 Jun lalu, dua wartawan Harian Metro bersama beberapa penduduk menyorok di dua lokasi masing-masing di belakang pokok buluh bersebelahan tingkap kiri dan longkang hadapan rumah itu.
Hasil intipan bermula jam 12 tengah malam itu mendapati deretan kereta termasuk kenderaan mewah model Mercedes Benz membanjiri kawasan sekitar rumah teres dua tingkat lot tepi berkenaan.
Ada antara kenderaan itu membawa kanak-kanak dianggarkan seawal usia enam tahun, anak gadis serta sekumpulan orang dewasa lelaki dan wanita.
Mereka disambut ‘pengawal pagar’ dan sebelum memasuki rumah itu, ahli kumpulan berkenaan menggeselkan pipi dengan pengawal terbabit.
Kanak-kanak terbabit dibiarkan di bawah garaj rumah dan diberikan alat permainan serta dipantau enam hingga tujuh orang dewasa yang melayan mereka bermain selama beberapa jam.
Selepas kira-kira dua jam melihat gelagat kanak-kanak itu bermain pada awal pagi, wartawan menerima SMS daripada seorang lagi wartawan yang menunggu di pohon buluh memberitahu dia terdengar suara perempuan menangis.
Apabila diamati kedengaran suara perempuan meraung diikuti bacaan ratib lelaki dipercayai dari tingkap bilik atas yang diselangi suara kanak-kanak bermain di garaj.
“Kanak-kanak terbabit memang sengaja disuruh bermain dipercayai untuk mengaburi kegiatan dilakukan kumpulan itu,” kata seorang lagi ahli kariah masjid, Suhaimi, 43.
Berikutan gusar kegiatan mencurigakan kumpulan itu, Husainy dan Suhaimi membuat laporan di Balai Polis Sentul dan Wangsa Maju.
Beberapa hari kemudian, Harian Metro mendapat maklumat ada bekas pengikut ajaran itu sudah bertaubat dan menemui imam masjid taman perumahan berdekatan.
Antara maklumat diperoleh menerusi imam mengenai ajaran itu ialah pengikut insaf yang juga peguam profesional itu memberitahu kesangsiannya selepas menyertai kumpulan itu.
Imam itu memberitahu, antara syarat perlu dipatuhi ialah pengikut dikehendaki beramai-ramai bercampur lelaki dan perempuan bukan mahram mandi hujan pada tengah malam, sekali seumur hidup.
Menurutnya, semua pengikut turut dimestikan meminum air yang disyaki bekas mandian ketua mereka.
“Selain itu, hanya jemputan khas boleh menyertai kumpulan berkenaan dengan mematuhi syarat ditetapkan ketua mereka,” kata imam itu yang enggan namanya disiarkan.
Wartawan yang membuat pengintipan turut mengalami pengalaman mendebarkan apabila dikejar pengawal pagar yang bersenjatakan kayu, kira-kira jam 3 pagi.
Sementara itu, sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengakui ada menerima laporan pada awal tahun lalu daripada ahli kariah masjid yang memaklumkan kemunculan ajaran sesat itu.
Bagaimanapun, sumber itu berkata berdasarkan siasatan pihaknya, Rahim yang mengetuai ajaran itu sudah meninggal dunia tetapi ajaran itu disambung pengikutnya.
“Siasatan mengenai saki-baki pengikut ajaran itu sedang dijalankan, kami belum boleh mengeluarkan kenyataan lanjut berikutan tidak mempunyai maklumat jelas serta kurang mendapat kerjasama pihak yang membuat aduan,” katanya.
www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment