Dr Asri tuduh Faisal 'berbohong'
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan satu karya penulis terkenal Faisal Tehrani sebagai sebuah "pembohongan" dan mendorongnya membantah penerbitan tersebut di sebuah akhbar tabloid.
"Kita boleh terima kepelbagaian, kita boleh terima pelbagai tafsiran, tetapi bukan pembohongan.
"Kita boleh terima karya seni. Saya rasa (saya) yang paling terima karya seni berbanding orang agama yang lain.
"Tetapi, macam mana pun kita tak boleh terima pembohongan," kata Dr Mohd Asri kepada Malaysiakini minggu lalu, ketika ditanya sebab beliau menulis surat membantah karya itu kepada Harian Metro.
Dalam suratnya bertarikh 6 Februari lalu, berdasarkan satu daripada siri novel Ketupat Cinta, beliau menyifatkan Faisal menggunakan "hadis palsu untuk mengagungkan Syiah" dan menggunakan "pegangan dan fahaman Syiah mengenai sambutan Asyura."
Aduannya itu berdasarkan siri keempat berjudul 'Bubur Ratapan Asyura' yang diterbitkan pada 5 Februari lalu di tabloid tersebut.
Dr Mohd Asri bagaimanapun tidak menjelaskan bahagian-bahagian dalam karya sastera itu yang dianggap mengagung-agungkan fahaman tersebut.
Menurut surat tersebut, mufti itu menyatakan sasterawan popular itu "seorang yang berfahaman Syiah dan beliau menggunakan saluran penulisan sebagai wadah penyebaran fahaman yang dipegangnya."
Salinan surat kepada ketua pengarang akhbar itu dikirimkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Selain karya tersebut, mufti Perlis mendakwa Faisal juga menyebarkan fahaman Syiah melalui blognya.
Surat itu, yang dimuatkan di laman web Dr Mohd Asri buat seketika pada 1 Mei, diterbitkan kembali oleh Faisal dalam blognya pada pada hari yang sama, termasuk teks penuh karya yang dibantah mufti itu.
Menjawab dalam blognya, Faisal menafikan dakwaan mufti itu.
Pemenang anugerah ‘Sastera Perdana’ itu berkata "sumber hadis yang dipetik adalah dari kitab-kitab Ahlus Sunnah Wal Jamaah."
"Saya tidak mengerti niat surat (mufti) ini. Melainkan Ahlus Sunnah Wal Jamaah juga telah dianggap sesat lantas kita umat Islam hanya dibenarkan merujuk Ibnu Taimiyyah, Albani atau Ben Baz. Tentu keterbukaan merujuk sumber diizinkan dalam Islam, apatah lagi dunia akademik," katanya.
Mengulas lanjut reaksi penulis sastera tersebut, Dr Mohd Asri berkata jawapan itu hanyalah dakwaan dan sering dilakukan oleh kelompok Syiah untuk mempertahankan diri.
"Lama dah orang Syiah guna hujah ini, sejak kita belum lahir lagi. Dah seribu tahun lebih dah (guna hujah ini). Dia kata pakai sumber Sunnah (Ahli Sunnah wal Jamaah), tetapi bila kita semak balik, macam lain, ditafsir macam lain," katanya.
Dr Mohd Asri menjelaskan, suratnya kepada akhbar itu sebagai susulan aduan individu berkaitan penyiaran 'Bubur Ratapan Asyura' kepadanya.
"Saya terima aduan daripada banyak pihak. Ada yang bertulis, ada yang lisan," katanya (foto bawah, kiri).
Ditanya kenapa beliau hanya membuat bantahan khusus siri itu sedangkan banyak lagi karya sastera Faisal, Dr Mohd Asri menjawab:
"Ada orang bawa surat khabar itu (Harian Metro), tunjuk pada saya. Sebab itu saya rujuk pada tulisan itu."
Diminta menjelaskan secara terperinci bahagian yang didakwa mempunyai unsur Syiah dan pengagungan terhadap perayaan Syiah, beliau berkata beliau tidak dapat melakukannya kerana tabloid itu tidak ada di tangannya sewaktu dihubungi Khamis lepas.
Ditanya maklum balas daripada akhbar tersebut, Jakim dan KDN terhadap surat rasminya itu setelah hampir tiga bulan dihantar, beliau berkata:
"Saya tak perasan. Banyak sangat surat masuk. Nak kena tengok dulu," katanya, yang juga bekas pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM).
Ditanya tindakan selanjutnya yang bakal diambil terhadap siri novel itu kerana ia masih terus diterbitkan, beliau enggan mengulas.
Dr Mohd Asri, walaupun menolak kandungan siri 'Bubur Ratapan Asyura', tetap mengakui bahawa karya sastera penulis itu berkualiti.
Diminta reaksinya terhadap tindakan mufti ini, Faisal enggan mengulas lanjut tentang hal ini.
"Peguam nasihatkan usah layan. Jika berlaku sekali lagi hal ini, saya tak akan teragak-agak heret dia ke mahkamah. Saya tak pasti apa lagi yang dia (Dr Mohd Asri) mahu dengan ini," kata Faisal kepada Malaysiakini melalui e-mel pertengahan Mei lalu.
Faisal, atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa, memulakan siri novelnya Ketupat Cinta di akhbar itu pada 15 Januari lalu. Novel itu disiarkan secara mingguan setiap Selasa.
Usaha mendapatkan ulasan akhbar itu, setakat ini, belum berjaya.
Siri ke-21 Ketupat Cinta akan menemui pembaca esok.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment