Desakan MB Selangor letak jawatan!
Salam semua,
Bermula dengan SMS ini, Nora pada asalnya tidak mahu pergi. Hari ini ada janji dengan anak Nora, Farah untuk pergi membeli belah. Namun setelah selesai membeli belah, ada kelapangan waktu. Nora pergi untuk melihat apa yang berlaku.
Ini SMS yang Nora terima.
Semua AJK, Ahli AMK, penyokong parti dan aktivis reformasi , sila berkumpul di DIAMOND SQUARE GOMBAK jam 5pm hari ini, kita akan luahkan perasaan pada Yahya Saari, semua bahagian seluruh Selangor sila ambil tindakan/sebarkan segera dan bawa sepanduk.
Ini nyata berlainan. Ini perhimpunan yang mendesak MB Selangor untuk meletak jawatan. MB Selangor dikatakan bertindak untuk kroni baru sahaja dan mereka yang berjuang lama tidak diendahkan seolah-olah perjuangan hanya perlu ikhlas bagi mereka yang tercakar dan tercalar kehidupan menuntut reformasi sebelum ini tetapi tidak perlu ikhlas untuk mereka yang selama ini berpeluk tubuh tetapi penuh hipokrasi untuk mencelah dan mendapat habuan hasil dari pengorbanan orang lain. Adil ke macam itu. Kita bercerita mengenai keadilan bukan mempersoalkan apa yang kita dapat dan apa yang orang lain dapat. Kita selalu bercakap mengenai keadilan tetapi kita lupa mereka yang berkorban pun perlu menikmati keadilan yang mereka perjuangkan.
Amat terkejut sekali apabila ada yang berani bersumpah mengenai kenyataan MB Selangor yang berbunyi :
Kalau tidak kukuh kewangan jangan berjuang, minyak tak de, kereta rosak dan macam-macam lagi. Kalau kewangan tidak kukuh – kukuhkan dahulu lepas itu berjuang
Amat berbeza sewaktu kita mula-mula terpanggil untuk reformasi. Anwar Ibrahim dalam laungannya menjemput semua rakyat Malaysia, tidak kira siapa – pemandu teksi dan bas, nelayan dan penoreh getah, petani dan buruh termasuk mereka dari golongan profesional untuk sama-sama memperjuangkan keadilan dan memperjuangkan hak rakyat. Laungan suara rakyat suara keramat adalah laungan. Namun hari ini, MB Selangor didakwa mengatakan – orang miskin jangan berjuang. Tidak ke kurang ajar namanya! Namun ini bukan pertama kali Nora dengar MB Selangor ini dikritik. Banyak lagi suara lain seperti “ kalau nak duit pergi jual t-shirt dan topi keadilan dan mereka yang ada wang sahaja ada kuasa. Tuhan saja yang tahu mengenai kenyataan TS Khalid.
Nora tertanya-tanya juga kenapa program ini dianjurkan oleh Yahya Saari, pegawai Khas MB. Rupanya beliau diberitakan di pecat dan sekarang ini dalam tempoh notis. Ohh gitu, bila tersepit, menjerit cari mereka dari kalangan reformasi. Bila waktu MB buat kenyataan yang tidak berhemah, seperti tempat dalam kerajaan Negeri Selangor hanya diberi kepada orang lulusan tinggi-profesional dan sebagainya – tidak pula mereka bangkit menentang dan mungkin kerana waktu itu sedang dilamun berpeluk dan bercium dengan MB ini. Adat mungkin, bila tersepit cari reformis dan pejuang, bila sedang “honey moon” tidak pula ingat kat kita orang.
Sebenarnya Nora bukan kisah sangat dengan perebutan jawatan dan sebagainya. Yang Nora tahu ialah rakyat jangan di hina biar mereka kutip sampah tepi jalan atau duduk di lorong – lorong gelap. Lebih baik pergi membantu dari hanya tahu menghina.
Panjang sikit tulisan Nora kali ini....jangan tidur ya. Nora sebenarnya sedih bila lihat Parti Keadilan Rakyat bertukar jadi Parti Keadilan Korporat Rakyat. Yang penting bagi Nora ialah untuk turut membinasakan golongan hipokrit – senyap dan tidur semasa orang lain sedang berjuang dengan kezaliman dan ketidakadilan, tiba-tiba bila sinar sudah kelihatan mereka bangun sambil menguap menjerit dan mendabik dada – wah aku juga seorang pejuang. Nora tidak suka mereka juga mempergunakan mereka yang di gelar reformis hanya di tolak ke hulu ke hilir untuk agenda peribadi.
Satu lagi – ini perhimpunan bukan ada kena mengena dengan Nora. Nora mengulas dengan ikhlas. Bagi yang hanya melihat di sebelah pihak buka mata besar-besar. Nora tulis dan yang lain patut buat “home work” mereka sendiri. Betul atau tidak keadaan ini berlaku. Kalau betul, perbetulkan semula dan jangan sorokkan kerana ini akan menjadi virus sebagai mana viru yang ada dalam Umno.
Namun suara-suara bantahan sudah mula ada. MB Selangor yang hanya tengok kepada kronis, perlu disedarkan. Kalau perjuangan golongan reformis ini tidak ada, kemenangan yang ada hari ini mungkin merupakan satu ilusi dan angan-angan sahaja. Kita bergerak sama, kita berjuang sama, kita berkorban sama-sama, kenapa orang yang hanya pegang duit sahaja yang terus memenuhi poket mereka. Mereka tahu ke apa yang berlaku sewaktu tahun-tahun 1998. Mereka ada ke bersama-sama kita. Mana mereka dahulu dan kenapa mereka ada sekarang membelakangi pejuang terdahulu.
Apa pun Nora akan terus menulis mengenai apa yang berlaku. Nora janji perjuangan Nora adalah untuk rakyat – mereka yang tertindas dan Nora tidak akan mengikuti nasihat yang mengatakan bahawa “kalau tidak ada kewangan kukuh jangan berjuang” kerana bagi Nora perjuangan itu adalah untuk mengukuhkan masa depan anak-anak dan generasi kita. Tetapi mereka yang mengambil kesempatan hasil dari apa yang kita perjuangkan – merupakan manusia hipokrit dan manusia seperti ini tidak layak mendapat hormat dari kita.
www.nnora75reform.blogspot.com
No comments:
Post a Comment