Yong Teck Lee disiasat terbabit rasuah RM5 juta
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee kini disiasat kerana disyaki terlibat dalam satu kes rasuah membabitkan RM5 juta yang didakwa dilakukan ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah.
Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan memberitahu Utusan Malaysia di sini hari ini, BPR sedang menyiasat pembabitan Yong itu ekoran satu pendedahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
Semalam, Mahkamah Tinggi diberitahu Teck Lee telah mengarahkan pembayaran lebih RM5 juta hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri Sabah kepada ejen pilihannya pada 1996.
Bekas Pengarah Briskmark Enterprise Sdn. Bhd., Datuk Wasli Mohd. Said berkata, semasa beliau menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), beliau berjumpa bekas Ketua Menteri itu di pejabatnya untuk memberikan taklimat mengenai cadangan pengambilalihan pengurusan 40 peratus saham Sapi Plantation milik LKTNS.
Wasli berkata, peguam yang mewakilinya William Cheah mencadangkan penubuhan syarikat (Briskmark) untuk dijadikan wadah bagi dana politik dan peguam itu memintanya memberikan taklimat kepada ketua menteri berhubung perkara itu.
“Saya memberikan taklimat kepada Ketua Menteri mengenai perkara itu dan memberitahunya mengenai keuntungan daripada langkah penyenaraian membabitkan saham Sapi dalam PPB Oil Palms,” katanya.
Katanya, selepas perjumpaan pertama itu, beliau ada bertemu Yong beberapa kali lagi iaitu bukan sahaja di pejabat tetapi juga di tempat lain di mana bekas ketua menteri itu mengarahkannya membayar sebahagian keuntungan penjualan saham itu kepada ejen pilihannya. – Utusan
No comments:
Post a Comment