02 June 2008

Siasat segera kekejaman ini

Keluarga dakwa SB seksa tahanan ISA sehingga lumpuh

Sekali lagi ISA mencatatkan episod penderitaan terhadap tahanan dan keluarga apabila seorang lagi tahanan, Sanjeev Kumar Krishnan, didakwa lumpuh akibat penderaan mental dan fizikal sepanjang penahanannya.

Sanjeev, yang ditahan sejak 22 September 2007 atas tuduhan sebagai 'agen perisik asing' dikatakan mengalami pelbagai penyeksaan yang dilakukan polis cawangan khas (SB) seperti ditendang dan dibelasah di bahagian badan dan kepala dengan menggunakan kaki, selain dipukul dengan botol berisi air.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata Sanjeev juga didakwa dipaksa meminum air kencingnya sendiri kira-kira tiga kali , sambil dimaki hamun dengan kata-kata kesat.

Lebih malang lagi, katanya Sanjeev juga didera secara fizikal apabila kemaluannya dipukul dan duburnya dijolok dengan objek keras.

"GMI dimaklumkan amalan penyeksaan tersebut telah membawa kesan bertambah buruk kepada tahanan setelah perintah tahanan dilanjutkan untuk dua tahun di bawah Seksyen 8, ISA. Beliau telah dihantar ke Kem Tahanan Kamunting (Kemta) pada 22 September 2007, selepas 55 hari ditahan," jelas beliau, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Katanya, Sanjeev juga mendakwa beliau tidak mendapat rawatan yang sempurna untuk beberapa bulan lamanya hingga mengakibatkan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda untuk kehidupan hariannya kerana kaki dan tangan sebelah kiri tidak lagi berfungsi dan lumpuh.

Sehubungan itu, GMI bertindak membuat laporan polis berhubung dakwaan Sanjeev pada 20 Mei lalu, di Balai Polis Dang Wangi, Jalan Stadium terhadap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, PDRM dan Kem Tahanan Perlindungan Taiping (Kemta).

Menurut laporan polis tersebut, Sanjeev tidak menerima sebarang bantuan kesihatan yang mencukupi daripada pihak kem, mengakibatkan kesakitannya semakin melarat yang kemudiannya terpaksa mendapatkan rawatan pada 11 April lalu.

Bagaimanapun, kesakitan yang dialaminya itu menyebabkan beliau terpaksa dihantar ke hospital Taiping.

"Namun, selepas beliau sampai di hospital, beliau tidak mendapat rawatan yang perlu. Ini kerana seorang Warden Kamunting yang bernama 'Sharom' memberitahu bahawa doktor di hospital tidak senang dan Sanjeev Kumar akan dibawa balik semula ke Kamunting," kata laporan polis itu.

Ekoran itu, tahanan telah dibawa semula ke Kamunting dan langsung tidak diberikan rawatan. Pada malam hari yang sama (11/4/08), Sanjeev Kumar mengadu sakit dan kali ini beliau telah dimasukkan dalam wad kerana keadaan yang serius.

Pada 18 April lalu, beliau dibenarkan keluar dari hospital. Namun, beliau kini menggunakan kerusi roda untuk kehidupan hariannya kerana kaki dan tangan sebelah kiri tidak lagi berfungsi dan beliau disahkan lumpuh.

Sehubungan itu, GMI membuat aduan polis terhadap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kem Perlindungan Tahanan Kamunting, Taiping kerana ketiga-tiga pihak di atas bertanggungjawab terhadap keadaan Sanjeev Kumar pada ketika ini.

"Kami mengharapkan pihak polis Bukit Aman menyiasat aduan kami ini serta mengambil tindakan yang wajar terhadap pihak-pihak yang disebutkan di atas. Adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menyiasat setiap aduan orang ramai seperti kes-kes lain sebelum ini," tegas Syed lagi.

Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang tahanan ini dan keluarga mangsa lain, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment