11 June 2008

Sebelum ini PM pernah kata tidak akan naikkan harga minyak, tetapi dinaikkan juga

PM: Harga minyak tidak naik lagi tahun ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat.

Pada masa yang sama, Abdullah juga mengumumkan bahawagaji kakitangan kerajaan akan dibayar dua kali dalam sebulan mulai Ogos ini.

Katanya, keputusan itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Menurut laporan Bernama, harga sekarang akan dikekalkan walaupun sekiranya harga minyak dunia mencecah AS$200 setong pada tahun ini, katanya dalam persidangan akhbar di pejabatnya di sini.

Menurutnya, kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia di masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu pada tahun ini.

Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.

Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala harga diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, berkuatkuasa Khamis lalu.

Keputusan kabinet

Harga tersebut ialah harga di pam dengan kerajaan masih mensubsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter petrol. Tanpa subsidi harga pasaran petrol tempatan ialah RM3 seliter.

Abdullah berkata harga minyak mentah yang tinggi ketika ini bermakna harga pasaran petrol juga telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

"Sekiranya, kerajaan amalkan subsidi 30 sen seliter, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada bulan Julai," katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak akan berlaku ekoran pengumuman kerajaan itu setelah keputusan dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu akan menjejaskan pendapatan kerajaan, Perdana Menteri berkata kerajaan berharap akan dapat pendapatan yang lebih daripada Petronas, syarikat minyak negara.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata harga minyak sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

Gaji dua kali sebulan

Sementara itu, Abdullah jberkata, langkah membayar gaji kakitangan kerajaan dua kali dalam sebulan mulai Ogos ini, adalah bagi memudahkan mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isirumah berikutan kenaikan harga bahan api.

"Separuh pertama akan dibayar pada pertengahan bulan dan separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.

"Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berbuat demikian, Bernama memetik Abdullah sebagai berkata: "Saya menganggap ini adalah satu pendekatan yang baik kerana ia membantu pekerja-pekerja kita untuk menguruskan aliran tunai isi rumah. Ini adalah penting."

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment