14 June 2008

Ratusan tahanan bolos dari penjara Kandahar

KABUL 14 Jun – Pihak berkuasa Afghanistan dan tentera asing hari ini menjalankan operasi besar-besaran untuk memburu ratusan tahanan yang melarikan diri dari penjara utama di bandar Kandahar, selatan negara ini selepas satu serangan gerila Taliban, malam tadi.

Pihak berkuasa juga melancarkan siasatan untuk mengenal pasti sama ada pegawai kerajaan terbabit dalam serangan ala komando oleh berpuluh-puluh pejuang Taliban tersebut.

Timbalan Menteri Kehakiman, Mohammad Qasim Hashimzai berkata, setakat ini tiada seorang pun tahanan yang berjaya ditangkap semula.

“Para pegawai sibuk menyiasat apa sebenarnya yang berlaku. Kami cuba memastikan sama ada mereka mendapat bantuan orang dalam,” kata Mohammad.

Menurut beliau, kira-kira 1,000 tahanan termasuk 400 anggota Taliban ditahan di penjara itu sebelum serangan berkenaan.

Kebanyakan daripada mereka berjaya melarikan diri, katanya.

Kemalangan jiwa turut berlaku di kalangan anggota polis, anggota Taliban dan tahanan lain dalam pertempuran berikutan serangan yang bermula dengan pintu masuk ke penjara diletupkan oleh seorang pengebom berani mati yang memandu trak.

Beberapa puluh gerila Taliban yang bersenjatakan bom tangan, roket dan raifal automatik kemudian menggempur pekarangan penjara dan mula membebaskan tahanan. – Reuters

No comments:

Post a Comment