30 June 2008

Prof Khalifah Dilantik Pemangku Naib Canselor Unisel

SHAH ALAM, 30 Jun (Bernama) -- Dekan Sekolah Pasca Ijazah Pengurusan Universiti Industri Selangor (Unisel) Prof Dr Khalifah Othman dilantik pemangku Naib Canselor universiti itu menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang ditamatkan perkhidmatan.

Pendidikan Industri Yayasan Selangor Sdn Bhd (PIYSB) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata lembaga pengarah PIYSB bersetuju melantik Dr Khalifah berkuatkuasa esok (1 Julai) sehingga dimaklumkan kelak.

Lembaga pengarah PIYSB juga telah meluluskan untuk membentuk satu jawatankuasa khas bagi tujuan penilaian dan pemilihan Naib Canselor Unisel yang akan dianggotai dalam kalangan ahli akademik dan ahli korporat.

Khalifah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kewangan) dan Ijazah Sarjana Perniagaan (MBA) dari Northern Illinois University, Amerika Syarikat, dan Ijazah Kedoktoran (PhD) dari University of Sterling, United Kingdom. Beliau telah berkhidmat di Unisel sejak 1 Mac 2005.

Sebelum itu, Khalifah berkhidmat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari tahun 1972 hingga 2004.

PIYSB juga menjelaskan bahawa Mohd Razali ditamatkan perkhidmatannya sebagai Naib Canselor Unisel kerana lembaga pengarah PIYSB tidak berpuas hati dengan prestasi beliau.

PIYSB berkata Mohd Razali dilantik pada 1 Ogos 2007 berdasarkan kepada peruntukan Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 dan Perlembagaan Unisel.

"Beliau dikehendaki menjalani tempoh percubaan selama enam bulan iaitu dari 1 Ogos 2007 sehingga 31 Jan 2008 bagi menilai prestasi beliau sebelum diserap ke dalam perkhidmatan dan sepanjang tempoh itu lembaga pengarah PIYSB membuat penilaian secara berterusan dan tidak berpuas hati dengan prestasi beliau.

"Lembaga pengarah PIYSB telah bersetuju untuk memberi peluang dengan melanjutkan tempoh percubaan selama enam bulan berkuatkuasa 1 Feb 2008 hingga 31 Julai 2008," demikian menurut kenyataan itu.

PIYSB berkata sepanjang tempoh percubaan kedua, perhidmatan dan prestasi Mohd Razali masih lagi tidak memuaskan.

"Setelah mendapat nasihat perundangan dan membuat pertimbangan yang sewajarnya, lembaga pengarah PIYSB dalam mesyuarat khas pada 26 Jun lepas telah membuat keputusan sebulat suara untuk tidak mengesahkan jawatan beliau, dan memberikan sebulan notis untuk menamatkan perkhidmatannya pada 31 Julai depan, dengan bergaji penuh berdasarkan pada peruntukan Perlembagaan Unisel dan terma serta syarat pelantikan yang terkandung dalam surat pelantikan beliau," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment