14 June 2008

Polis tahan 2 ahli parlimen

Perhimpunan di Istana Negara, 4 ditahan

Sekurang-kurangnya empat orang, termasuk dua ahli Parlimen PKR ditahan, dipercayai kerana mempertikaikan tindakan polis melarang sekumpulan 70 orang penyokong Hindraf berhimpun di depan Istana Negara.

Kumpulan itu termasuk 40 kanak-kanak yang membawa ‘teddy bear' untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Bapa hari ini.

Ia merupakan tindakan simbolik bagi mencerminkan anak-anak kepada tahanan ISA yang tidak dapat menyambutnya bersama bapa masing-masing yang ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

Dua ahli parlimen PKR yang ditahan itu ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Sivarasa Rasiah (Subang).

kira-kira 70 anggota polis termasuk 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), berkawal di luar Istana Negara.

Sivarasa ditahan pada kira-kira jam 10.25 pagi manakala Zuraida pula ditahan lima minit kemudiannya. Keempat mereka kemudiannya dibawa pergi dari situ dengan van polis.

Pada kira-kira jam 10.40 pagi, kumpulan tersebut tiba dengan menaiki bas yang berhenti kira-kira 500 meter dari istana.

Mereka kemudian berjalan beramai-ramai menuju ke Istana Negara, termasuk kira-kira 30 orang dewasa yang memakai lencana Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf).

Berunding dengan polis

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan menghampir istana oleh anggota polis yang mengawal kawasan tersebut.

Kemudian, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ronie Liu tiba dan berunding dengan pegawai polis di situ.

Selepas setengah jam berunding, polis membenarkan kanak-kanak tersebut menghampir utama istana untk menyerahkan 'teddy bear'.

Difahamkan, pihak istana bersetuju menghantar wakil untuk menerima hadiah dari kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun apabila tiada wakil istana yang muncul, mereka mengambil keputusan untuk menyerahkan 'teddy bear' dan sedulang pisang kepada Ronie sebagai mewakili kerajaan Selangor.

Mereka kemudiannya meminta kerajaan negeri mengatur untuk menyerahkan 'teddy bear' tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kumpulan tersebut kemudiannya bersurai pada kira-kira jam 11.30 pagi. Perhimpunan pagi ini berjalan secara aman.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment