22 June 2008

Pegawai MB S'gor digantung tugas?

Seorang pegawai kanan menteri besar Selangor, yang sedang disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengagihan kontrak pembuangan sampah di Petaling Jaya, akan digantung tugasnya esok.

"Ya, kemungkinan besar esok beliau akan dikenakan tindakan penggantungan," kata satu sumber dekat dengan pentadbiran kerajaan negeri kepada Malaysiakini awal malam ini.

Sumber-sumber lain pula berkata, tindakan itu telah diketahui oleh pegawai terbabit dan beliau mula memanggil mesyuarat dengan beberapa lagi rakannya dalam PKR.

Satu pertemuan dengan pengikutnya telah diadakan hari ini di pejabat pegawai terbabit di Gombak, kata sumber itu lagi, dan kemungkinan satu perhimpunan bantahan diadakan jika penggantungan tugas diteruskan.

Satu sumber lain memberitahu Malaysiakini, beliau tidak pasti sama ada pegawai kanan itu akan digantung atau dipecat daripada pejabat menteri besar.

Beberapa pemimpin dan wakil-wakil rakyat parti itu di Selangor juga sudah mendapat maklumat tentang tindakan yang bakal diambil oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 10 Jun lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil pegawai kanan berkenaan selama empat jam berhubung siasatan kes kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya.

"Kita sudah ambil keterangan pegawai terbabit hari ini dan hasil siasatan akan diketahui dalam jangka masa terdekat ini," kata pengarah BPR Selangor, Ja'afar Mahad awal bulan ini.

Awal bulan ini, sekumpulan empat orang yang mendakwa ahli PKR membuat laporan kepada BPR dan polis dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang membuktikan pegawai kanan terbabit terlibat dalam meluluskan kontrak dan tender itu kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan Abdul Khalid.

Selangor pula berhasrat menjalankan siasatan sendiri kerana bimbang BPR lambat dan boleh mencemarkan imejnya.

Kerajaan negeri menyeru empat pengadu itu agar hadir di depan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggung- jawaban dan Ketelusan yang diketuai speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chan Kim bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment