"Saya Tidak Diberitahu Mengenai Sebuah Parti Komponen Meninggalkan BN", Kata Abdullah
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau tidak tahu mengenai sebarang langkah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) atau anggota-anggota Parlimen meninggalkan BN dan membentuk sebuah gabungan bebas.
"Saya tiada diberitahu apa-apa mengenainya," kata Perdana Menteri kepada pemberita di sini hari ini.
Abdullah, juga pengerusi BN, diminta mengulas mengenai laporan baru-baru ini yang menyatakan sebuah parti BN sedang menimbang untuk keluar dari gabungan itu.
Semalam, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata tidak ada sebarang petunjuk sehingga ini yang sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri akan meninggalkan gabungan itu dan beliau menyifatkannya hanya spekulasi.
Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Raymond Tan semalam turut menafikan yang partinya akan meninggalkan BN.
Beliau berkata parti itu tidak ada membincangkan perkara itu dan memberi jaminan SAPP akan kekal sebagai parti komponen BN.
Ahad lepas, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah membayangkan sebuah parti BN dari Malaysia Timur mungkin meninggalkan BN sebelum hujung bulan ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment