10 June 2008

Nik Aziz selamat kembali dari umrah

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Beliau tiba jam 9 malam bersama isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, anak-anak serta menantu selain diiringi 20 anggota rombongan termasuk pegawai pejabat Menteri Besar Kelantan.

Menurut Setiausaha Sulitnya, Nik Azlan Abdul Hadi keadaan kesihatan Menteri Besar Kelantan begitu baik dan beliau kelihatan lebih ceria berbanding sebelum bertolak ke Makkah, 26 Mei lalu.

"Tok Guru nampak lebih sihat dan ceria daripada masa sebelum beliau bertolak ke Makkah dua minggu lepas," ujarnya ketika ditemui di Bilik Rehat VIP KLIA.

Nik Azlan juga berkata, Tuan Guru Nik Aziz akan memulakan semula tugas Khamis ini memandangkan beban tugasan yang ditinggalkan sepanjang peninggalan beliau agak banyak.

"Beliau juga menyampaikan ucapan penghargaan di atas doa semua pihak sehingga Menteri Besar selamat pulang ke tanah air," katanya.

Sebaik selesai menunaikan solat dan berehat seketika, beliau beserta rombongan berlepas pulang ke Kota Bharu dengan penerbangan pada jam 10.40 malam tadi.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Salmah Mat Husain melaporkan hampir 500 rakyat Kelantan dan pemimpin kerajaan negeri serta pegawai menyambut kepulangan Menteri Besar di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Rombongannya tiba kira-kira jam 11.30 malam. Orang ramai yang hadir berebut-rebut untuk bersalam dengan pemimpin kesayangan mereka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz kelihatan ceria dan sempat bersalam dengan orang ramai yang menunggunya sejak awal lagi. Turut kelihatan isterinya, Datin Tuan Sabariah dan anggota rombongan lain.

Manakala kira-kira jam 11 pagi tadi beliau menziarahi timbalannya, Datuk Ahmad Yakob yang sedang bercuti sakit akibat serangan jantung baru-baru ini di rumahnya di Alor Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment