Muhammad: Negeri Pakatan 'agresif'
Empat negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat sejak pilihanraya Mac lepas bertindak agresif dengan menukar pegawai dan menghalau agensi kerajaan keluar dari bangunan yang ditadbir mereka, kata senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib.
Bercakap di Dewan Negara hari ini, menteri kemajuan luar bandar dan wilayah berkata tindakan itu berlaku di Selangor apabila operasi Radio Selangor FM bawah sebuah jabatan persekutuan dihalau keluar dari bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
"Begitu juga mereka menukar pegawai di masjid-masjid, tukar ketua kampung.
"Kerajaan persekutuan memberi peruntukan kepada nazir masjid dan juga guru agama. Jadi kita kata perkara ini tak adil.
"Wakil rakyat Barisan Nasional juga tidak dibenar merasmikan majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor.
"Balai raya juga tidak dibenarkan pakai. Kalau kita tak beri anak mereka sekolah di sekolah kebangsaan pula macam mana," beliau dilaporkan berkata semasa menggulung perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.
Menurut Bernama, Muhammad berkata penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) di empat negeri berkenaan "wajar bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan persekutuan di peringkat kampung."
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment