27 June 2008

Mengapa marah sangat bekas ustazah ini

Mashitah kesal MPKB perbesar isu remeh

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) melarang peniaga dan wanita Islam di negeri itu bergincu dan berkasut tinggi.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan Islam, ia bukan caranya untuk memaksa rakyat negara ini untuk berbuat demikian sebaliknya menyediakan sistem yang memudahkan orang ramai melaksanakan tuntutan dalam agama Islam.

“Kita tidak memaksa seperti mana MPKB yang mendakwa mereka sebagai Bandaraya Islam, tetapi penerapan yang mereka lakukan lebih kepada kekerasan dan denda...kalau pakai tudung tak labuh kena denda.

“Saya tak setuju dengan pandangan mereka supaya memakai tudung kerana dalam Islam bukan pakai tudung tetapi menutup aurat, bagaimana hendak pakai tudung, terpulang kepada wanita itu asalkan mereka mengikut syarat yang dikehendaki.

“Kenapa nak cegah wanita bersolek...cantik itu dibolehkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Isu-Isu Semasa Tamadun Ummah di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Anan Che Mohd.

Seminar anjuran Jakim dengan kerjasama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat) dan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM) disertai lebih 100 pensyarah membabitkan 20 institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Mashitah berkata, beliau kesal kerana MPKB lebih memperbesarkan isu remeh temeh berbanding memikirkan masalah gejala sosial yang perlu diberi keutamaan.

“Sepatutnya mereka perlu memberi keutamaan isu yang lebih besar daripada isu memakai tudung seperti isu pengkid dan menangani masalah sosial. Cara mereka memaksa dan mendenda tak kena sebaliknya dalam Islam apa yang perlu, kita patuhi mengikut hukum dan syarat.

“Tumpuan seperti itu perlu diberi keutamaan daripada tumpuan yang lebih kecil. Inilah masalah orang Islam lebih mementingkan perkara kecil manakala tumpuan yang lebih besar ditinggalkan.

“Wanita perlu diterapkan dengan aspek meningkatkan taraf ekonomi keluarga bukannya memandang dari sudut pemakaian tudungnya sama ada labuh atau pendek atau kasutnya tinggi dan berbunyi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tindakan MPKB yang menyebarkan risalah etika pakaian yang dikuatkuasakan terhadap peniaga dan pekerja wanita Islam di Kelantan, yang turut membabitkan larangan pemakaian gincu, kasut tumit tinggi serta gelang kaki ketika menjalankan perniagaan dan berdepan orang ramai.

Kod etika itu disebarkan menerusi pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian yang ditandatangani Yang Dipertua MPKB, Shafie Ismail bertarikh 28 Mei 2008.

www.tranungkite.net

No comments:

Post a Comment