23 June 2008

Keputusan segera perlu dibuat terhadap orang yang membunuh anaknya

Kes pendakwaan pembunuhan Altantuya ditutup

Setelah 124 hari berlangsung perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dengan memanggil 84 orang saksi, pihak pendakwaan menutup kesnya hari ini.

Perbicaraan yang mengambil masa panjang ini akan disambung semula pada 23 Julai untuk membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin memerintahkan kesemua pihak mengemukakan hujahan secara bertulis bagi tuduhan membunuh Altantuya itu serta turut memasukkan bersama hujahan dua perbicaraan dalam perbicaraan iaitu mengenai dakwaan Cif Inspektor Azilah Hadri yang telah menunjukkan tempat kejadian Altantuya ditembak dan diletupkan kepada Cif Inspektor Koh Fei Cheow serta bagi menentukan sama ada tindakan dan kenyataan Koperal Sirul Azhar Umar kepada ASP Zulkarnain Samsudin berhubung penemuan barang-barang kemas mangsa di rumahnya boleh diterima sebagai keterangan.

Selain itu hujahan mengenai mencabar kewibawaan dua saksi juga perlu dimasukkan iaitu mengenai keterangan teman wanita Azilah, Lans Koperal Rohaniza Roslan, dan seorang pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) DSP Mohd Yusri Hasan Basri.

Kesemua pihak telah bersetuju supaya hujahan dijalankan secara berterusan tanpa sebarang penangguhan hingga tamat bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.

Mohd Zaki yang sentiasa tenang sepanjang prosiding turut menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan beliau telah menulis hingga 4,000 muka surat.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata pihaknya menawarkan 144 saksi kepada pihak pembelaan termasuk Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi dan isteri Abdul Razak Abdullah Baginda, Mazlinda Makhzan.

Kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian hingga ke peringkat antarabangsa ini melibatkan Azilah, 32, dan Sirul Azhar Umar, 37, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas, yang dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam, 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokannya, di satu kawasan di Bukit Raja dekat sini.

Penganalisis politik, Abdul Razak, 48, pula dituduh bersubahat dengan mereka. Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan yang diketui Tun Abdul Majid turut melibatkan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid manakala Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar manakala Sirul Azhar diwakili peguam Kamaruhisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.

Peguam Wong Kian Kheong pula mewakili Abdul Razak.

Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev turut hadir di mahkamah pagi tadi.

Melalui seorang juru bahasa Shaariibuu berkata kehadirannya adalah untuk mendengar keputusan kes pembunuhan anaknya tetapi tidak menyangka ia hanya bagi penutupan kes di akhir pendakwaan.

Di luar mahkamah, beliau yang masih tidak berpuas hati dengan perjalanan kes itu mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan segera perlu dibuat kerana terlalu lama menunggu hukuman terhadap orang yang membunuh anaknya.

Shaariibuu turut menyampaikan surat daripada Timbalan Pengarah di Jabatan Konsul Kementerian Luar Mongolia, Yadmaa Ariunbold, kepada Tun Abdul Majid, meminta kes itu dijalankan dengan adil dan mengambil tindakan sewajarnya.

Ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu Tun Abdul Majid berkata: "Tiada apa yang boleh kita lakukan, bergantung kepada mahkamah."

www.klpos.com

No comments:

Post a Comment