Tiket bas naik RM5 hingga RM10
KUALA LUMPUR – Belum sempat tiga hari selepas pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel, kebanyakan syarikat bas ekspres sudah ‘pandai-pandai’ menaikkan harga tiket dari RM5 hingga RM10.
Tinjauan Kosmo! di Puduraya di sini dan Terminal Shahab Perdana di Alor Star, Kedah semalam mendapati ada pengusaha bas ekspres mengambil kesempatan memenaikkan harga tiket atas alasan kenaikan harga bahan api itu.
Malah tindakan mereka itu dianggap sudah mendahului keputusan persatuan dan tanpa restu agensi kerajaan terlibat.
Jualan harga tiket yang melebihi antara RM5 dan RM10 itu dikesan untuk ke destinasi tumpuan iaitu dari negeri utara ke Lembah Klang terutama Kuala Lumpur cukup merungsingkan pengguna.
Seperti contoh, harga tiket bas ekspres dari kedua-dua hala itu biasanya dijual RM30 dinaikkan sehingga RM40 tetapi ada sesetengah pengusaha yang menaikkan sebanyak RM35.
Seperti contoh, bagi destinasi dari Alor Star ke Kajang, Selangor yang dahulunya RM35 dinaikkan kepada RM40 yang mula dikuatkuasakan serta-merta semalam.
Bagaimanapun tiket bas ekspres yang tidak terlalu menjadi tumpuan pengguna seperti ke Johor Bahru tidak pula dinaikkan dan kekal pada harga lama iaitu RM55.
Seorang pegawai pemasaran, Anita Adlin, 28, memberitahu, dia terkejut apabila mengetahui harga tiket dari Alor Star ke Kuala Lumpur naik sampai RM10.
“Biasa RM30 saja, bila jurujual kata naik RM10, saya teragak-agak nak bayar, susah la macam ni kalau semua benda naik harga lepas harga minyak naik,” jelasnya.
Bagi seorang lagi pembeli, Rozlan Razlan, 30, harga tiket bas yang naik itu cukup membebankan memandangkan dia selalu berulang-alik dari Kedah ke ibu kota.
“Isteri saya tinggal di Kuala Lumpur, saya kerja di sini, kalau tiap-tiap minggu berulang-alik dengan harga tiket bas RM40 susahlah saya, harga barang naik, gaji tak naik,” ujarnya bekerja swasta.
Seorang jurujual tiket di terminal itu, Rizal Salleh, 25, mengaku, tambang bas ekspres naik sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Kalau tambang tak naik, kami akan rugi, setakat ini kami hanya naikkan tiket bagi laluan yang menjadi tumpuan seperti Kuala Lumpur sahaja,” jelasnya.
Bagi seorang lagi penjual tiket bas ekspres, Rahim Amar, 27, walaupun ramai pembeli merungut tetapi mereka tiada pilihan.
“Bas guna minyak, kalau harga minyak naik, tiket perlu naik untuk elak kerugian,” katanya.
Selain harga tiket bas ekspres, beberapa barangan lain juga mendapat tempias yang sama.
Di PAHANG, harga ayam sudah mula naik antara 20 hingga 40 sen.
Ayam standard dengan kepala, kaki dan hempedal, dijual RM6.20 hingga RM6.40 sekilogram melebihi RM6 bagi harga siling sebelum ini.
Di SEREMBAN, majoriti peniaga hanya menunggu saat dan ketika sahaja untuk menaikkan harga barang.
Rata-rata mereka beranggapan sekiranya menaikkan harga, mereka terpaksa mengikut rentak yang sama.
Di JOHOR BAHRU, harga barang basah di beberapa pasar di daerah ini dijangka naik mulai minggu depan.
Ia berdasarkan tinjauan Kosmo! semalam yang mendapati para peniaga mengeluh berikutan segelintir pembekal telah menguar-uarkan akan menaikkan harga barangan jualan mereka.
Peniaga daging di Pasar Larkin, Yousof Jantan, 54, berkata, harga daging terutamanya daging sejuk beku dijangka akan naik mulai minggu depan.
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment