BN sokong Abdullah - Semua pemimpin komponen berdiri teguh belakang Perdana Menteri
KUALA LUMPUR 18 Jun – Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini menyatakan sokongan padu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan berjanji akan berdiri teguh di belakangnya jika terdapat usul mencabar kepimpinan beliau di Parlimen.
Mereka juga menyelar rancangan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk mengemukakan atau menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah di Dewan Rakyat Isnin ini dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang terkeluar daripada landasan permuafakatan BN.
Malah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menegaskan, tindakan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti itu telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakan paling tepat perlu diambil terhadap SAPP iaitu memecatnya daripada BN,’’ kata Pengerusi BN Melaka itu ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini.
Ketua Menteri Melaka itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Teck Lee bahawa SAPP hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan dua ahli Parlimen parti itu akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah di Dewan Rakyat.
“Apa yang dilakukan itu amat tidak bermoral dan tidak beretika,” tegasnya.
BN yang menguasai 140 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dianggotai 14 parti komponen termasuk SAPP. Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu BN gagal menguasai majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman pula melahirkan rasa kecewa dan terperanjat dengan kenyataan Presiden SAPP itu yang berbaur ugutan.
“Saya tidak pasti apakah motif sebenar SAPP mengambil tindakan sedemikian. Sebagai parti komponen BN, tindakan itu adalah perbuatan yang tidak wajar dilakukan berlandaskan semangat setiakawan yang diamalkan selama ini," kata Musa dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.
Presiden Parti Liberal Demoktratik (LDP), Datuk V.K. Liew pula berkata, keputusan SAPP itu lebih bersifat untuk kepentingan parti tersebut dan bukannya membela rakyat Sabah.
“Kita kesal dengan keputusan itu tetapi ia nampaknya lebih kepada kepentingan diri sendiri dan bukannya untuk rakyat Sabah. Langkah itu hanya sekadar bagi memenuhi agenda SAPP,'' ujarnya.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup menyifatkan tindakan Teck Lee dan SAPP sebagai tidak wajar sama sekali.
Katanya, Abdullah telah berusaha melakukan sesuatu untuk kepentingan rakyat Sabah malah sudah menyatakan secara terbuka proses peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ini amat mengecewakan, saya rasa macam mereka tidak faham apa yang sedang berlaku sekarang. Saya berpendapat tidak sesuai mereka memberi tekanan kepada Perdana Menteri kerana beliau sedar apa yang berlaku dan sudah kata akan menyerahkan kuasa.
“Selain itu, isu yang kita suarakan di Sabah agak kompleks dan ia mengambil masa untuk diselesaikan. Kami dalam PBRS juga ada yang tidak senang dengan isu yang dikemukakan tetapi masih yakin kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan untuk membaiki keadaan,” katanya.
Beliau memberitahu, meskipun PBRS menyuarakan beberapa isu seperti soal pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tidak begitu senang dengan cara mengatasi masalah itu tetapi ia tidak sampai menyuarakan usul tidak percaya terhadap pucuk pimpinan.
MCA, parti terbesar kaum Cina di negara ini, pula mengumumkan parti itu akan berdiri teguh bersama Abdullah dan BN meskipun pucuk pimpinan SAPP menyatakan mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.
Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, rakyat amat memerlukan kestabilan dari segi politik dan ekonomi memandangkan mereka sekarang sedang berhadapan dengan masalah seperti tekanan inflasi, kenaikan harga barang dan minyak.
Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan, parti itu akan terus setia bersama BN dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri.
“Ini adalah kali pertama kita menghadapi keadaan di mana parti komponen tidak menyokong Perdana Menteri. MIC tidak akan membiarkan Perdana Menteri dijatuhkan kerana beliau dipilih oleh rakyat,’’ katanya.
Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. S. Vijayaratnam menyatakan tindakan SAPP itu merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan ia sesuatu yang melampau.
“Kami merayu kepada SAPP agar membuat pertimbangan sewajarnya terhadap tindakan mereka," katanya.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali percaya parti dari Sabah itu mungkin merasakan ia tidak akan relevan lagi jika tidak mengambil kesempatan daripada senario politik semasa negara.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengumuman SAPP itu menunjukkan parti kecil dari Sabah itu – yang mempunyai sekadar dua orang ahli Parlimen – tidak beretika.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengulas: “Ini satu ugutan terhadap kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat.”
Dalam pada itu, Ahli Parlimen BN-Kalabakan yang banyak mengkritik kerajaan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata, meskipun beliau juga lantang menyuarakan masalah rakyat Sabah, tetapi ia tidaklah sehingga membuat pengumuman yang membelakangkan semangat BN.
Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu, (UPKO), Datuk Wilfred Tangau pula menganggap tindakan SAPP itu adalah hak masing-masing untuk membuat keputusan tersendiri.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Karamunting yang juga pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Edmund Chong Ket Wah enggan mengulas lanjut atas alasan beliau tidak mengetahui apa yang akan dilakukan oleh SAPP.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, tindakan SAPP itu boleh memecahbelahkan BN.
Jika mereka mempunyai masalah, katanya, perkara tersebut boleh diselesaikan secara rundingan dalam BN dan bukan dengan menghebahkannya kepada masyarakat umum.
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr. James Masing memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan tindakan SAPP dan Teck Lee itu kerana ia bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
www.utusan.com.my
No comments:
Post a Comment