29 June 2008

Jika BN terbabit, sudah semestinya akan menafikannya

Siasat dakwaan liwat ke atas Anwar, PM nafi BN terbabit

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada polis untuk mengadakan siasatan bagi menentukan kesahihan berhubung dakwaan bahawa Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim meliwat seorang pembantunya.

Katanya, siasatan wajar dibuat dan bukan hanya bergantung kepada penafian Anwar sahaja kerana sepertimana kes jenayah lain, sudah semestinya sesiapa sahaja yang dituduh akan menafikannya.

"Kalau sudah begitu pihak polislah yang kena ambil apa-apa tindakan yang sewajarnya. Laporan telah diberi, polis akan buat siasatan dan tentukan bahawa benda itu betul atau tidak betul.

"Apa yang Anwar kata bukan kita boleh tentukan...dia tentulah buat penafian. Itu lazimnya begitulah. Orang yang dituduh akan buat penafian,' katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Bumi Hijau Warga Putrajaya Bersama Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Perdana Menteri mengulas demikian merujuk kepada laporan polis di Balai Polis Travers, oleh seorang lelaki berumur 23 tahun yang mendakwa diliwat oleh pemimpin itu pada 26 Jun lalu di sebuah tempat di ibu negara, demikian menurut laporan Bernama.

Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan bahawa BN merancang untuk menyekat kebangkitan karier politik Anwar dengan melemparkan berbagai-bagai tohmahan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Umno tak terfikir nak kacau dia macam ini. BN pun tak terfikir nak menyusahkan dia, nak kacau atau nak timbulkan perkara yang macam ini kerana nak buat sesuatu yang tak baik pada dia.

"Tidak ada niat seumpama ini...tak terlintas dalam fikiran saya langsung untuk nak khianati dia. Saya dan kawan-kawan saya, Datuk Seri Najib (Tun Razak) pun tak terfikir macam itu.

"Orang yang berkenaan yang buat laporan, kita nak buat apa lagi. Dia ada hak untuk buat laporan. Kita tidak boleh menegah dia buat laporan. Kita tidak ada sebarang rancangan untuk membuat sesuatu pada dia (Anwar) kerana dia kata dia sudah pulih balik dalam politik," katanya.

Ditanya adakah Anwar akan ditahan polis, Perdana Menteri berkata: 'Saya tidak mahu kata apa-apa mengenainya, cukuplah...tiada spekulasi, tiada"

"Apa yang saya tahu ialah satu laporan telah dibuat kepada polis dan polis akan tentukan apa yang mereka mahu lakukan dan bagaimana," kata Abdullah.

www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment