10 June 2008

Jangan buat buta, harga kereta di London lebih murah dan berkualiti dari Malaysia

Anggota Pentadbiran Perlu Turut Berkongsi Tanggung Beban Kenaikan Harga Minyak, Kata Najib

LONDON, 10 Jun (Bernama) - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan kerajaan memotong elaun keraian anggota Kabinet serta beberapa langkah penjimatan perbelanjaan awam lain membuktikan kerajaan dan anggota pentadbiran turut berkongsi beban dengan kenaikan kos bahan api.

"Satu langkah yang mengambil kira betapa perlunya kita berkongsi beban, bukan sahaja rakyat tetapi kerajaan dan anggota pentadbiran mesti bertanggungjawab hadapi masalah beban kenaikan harga bahan api.

"Adalah tidak wajar dan adil hanya rakyat jelata sahaja (yang menanggung beban itu manakala) anggota pentadbiran tidak tanggung beban itu," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri selama tiga hari di sini Isnin.

Najib berada di sini untuk menghadiri sidang kemuncak mini Komanwel selama dua hari mulai hari Isnin yang bertemakan "Pembaharuan Institusi Antarabangsa" yang menumpukan kepada usaha membentuk semula institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Najib berkata demikian apabila diminta mengulas pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai langkah-langkah penjimatan kerajaan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan di Putrajaya Isnin.

Najib berkata dengan langkah yang diambil oleh kerajaan, termasuk memotong elaun keraian anggota Jemaah Menteri dan pentadbiran sebanyak 10 peratus mulai 1 Julai ini bererti mereka juga merasai kesan kenaikan harga minyak itu.

Beliau berkata Perdana Menteri telahpun berbincang dengannya mengenai tindakan yang akan diambil oleh kerajaan itu sebelum berlepas ke London Sabtu lepas.

Beliau turut berharap tindakan kerajaan memberi rebat minyak kepada mereka yang layak dapat mententeramkan keadaan di kalangan rakyat.

"Kita kena terima hakikat ini merupakan fenomena global di mana semua negara kecuali negara pengeluar minyak terbesar yang tidak melakukan penyesuaian kepada harga bahan minyak tempatan," katanya.

Beliau berkata kebanyakan negara telah "berpindah daripada rejim subsidi kepada yang mengikut kaedah pasaran dan Malaysia terpaksa mengikut langkah ini kerana tidak ada pilihan walaupun negara mengesport minyak, hakikatnya hanya marginal dalam 100,000 tong sehari.

Najib berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk mendidik rakyat untuk menerima hakikat bahawa Malaysia yang memiliki lebihan minyak yang marginal.

"(Malaysia) perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika tidak mempunyai telaga minyak yang baru menjelang tahun 2121, yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengimport minyak.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk mendidik rakyat menerima bahawa hari tersebut akan tiba di mana kita tidak lagi menjadi pengesport minyak," katanya.

Beliau berkata adalah lebih baik menerima hakikat itu dan membuat penyesuaian.

"Selama ini kita tidak mencari kaedah alternatif kerana tidak ada insentif berikutan harga minyak kita terlalu rendah," katanya.

Beliau turut melahirkan rasa tidak puashatinya dengan laporan media tempatan dan luar negara yang lebih menekankan kepada isu tindakan kerajaan menaikkan harga minyak daripada tindakan kerajaan memberi rebat kepada mereka yang layak, serta menyegerakan pembayarannya.

"Jika orang tahu bahawa satu sistem disediakan untuk mereka yang berhak menerima bayaran wang itu, ini akan melegakan suasana," katanya.

Najib berkata dalam masa jangka panjang, rakyat perlu menerima hakikat minyak milik negara akan pupus serta hakikat yang Malaysia akan menjadi pengimpot bersih minyak.

Untuk itu, rakyat perlu mengambil langkah untuk menjimatkan perbelanjaan dengan menggunakan sumber tenaga pilihan seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain, katanya.

Najib berkata semasa pertemuannya dengan Datuk Bandar Bandaraya London David Lewis di pejabatnya di Mansion House tengah hari Isnin, beliau telah dimaklumkan oleh seorang usahawan Lord Levene of Portsoken bahawa isterinya kini memandu kereta elektrik yang bukan sahaja tidak memerlukan cukai jalan tetapi juga tidak perlu membayar tempat meletak kereta.

Ini bererti bandar raya London sudahpun mencari langkah bagaimanana untuk mengurangkan pergantungan terhadap minyak dan sudahpun ada langkah untuk menggunakan tenaga alternatif, katanya.

Beliau berkata dengan langkah yang diambil kerajaan untuk menaikkan harga minyak adalah bagi menukar pemikiran masyarakat Malaysia untuk melihat kepada cara yang dapat mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai bahan tenaga.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment