25 June 2008

Isteri Najib dipanggil polis

Najib: Polis ambil kenyataan Rosmah

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan bahawa isterinya Rosmah Mansor terbabit dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu seperti yang didakwa oleh Raja Petra Kamarudin.

Najib juga berkata, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan bersumpah penulis sensasi itu.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, Najib berkata akuan Raja Petra itu satu pembohongan semata-mata.

Najib juga menyifatkannya sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.

Sebelum ini, beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Raja Petra, dalam akuan bersumpahnya 18 Jun lalu, mendakwa Rosmah bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan.

Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengendali blog Malaysia Today juga mendakwa perdana menteri menerima maklumat tentang pembabitan tiga individu itu, termasuk Rosmah, dan menyerahkan laporan perisikan kepada menantunya dan juga naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

Abdullah dilaporkan berkata: "Memang saya concern (dengan dakwaan Raja Petra).

"Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul.

"Terutamanya dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya dari pihak perisikan tentera.

"Itu tak betul," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan jawatankuasa khas mempertingkatkan daya saing kelapa sawit di bangunan Parlimen.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment