26 June 2008

Hantar segera PATI pulang

PATI merusuh lambat dihantar pulang ke negara asal

KAJANG 25 Jun - Ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depot tahanan sementara di sini, merusuh kerana lambat dihantar pulang ke negara masing-masing.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam semalam, beberapa pagar serta kemudahan di depot tahanan dirosakkan oleh PATI yang marah dengan pihak pengurusan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata, rusuhan itu dipercayai didalangi oleh seorang PATI warga Iran yang ingin pulang ke negara asalnya secepat mungkin.

"Rusuhan itu semakin menjadi-jadi apabila jumlah tahanan yang menyertai rusuhan itu meningkat kira-kira pukul 11 malam.

"Ia bagaimanapun berjaya diredakan pada pukul 1 pagi ini dan kesemua PATI berhenti merusuh kira-kira dua jam kemudian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ishak berkata, rusuhan tersebut turut melibatkan PATI warga Pakistan, Bangladesh dan India, namun tiada tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa setakat ini selain tiada senjata dirampas.

Katanya, polis turut berada di depot tahanan itu bagi memberi bantuan kepada kira-kira 100 anggota Ikatan Sukarelawan Rakyat (Rela) yang dipertanggungjawabkan mengawal depot tersebut.

Ekoran kejadian itu ujarnya, sebanyak 700 PATI yang terlibat dalam rusuhan itu telah dihantar ke enam depot tahanan sementara PATI diseluruh negara pagi ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakarudin Che Mood ketika dihubungi berkata, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment