Permohonan Ezam tiga minggu lagi
Keputusan sama ada bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor akan diterima masuk semula ke Umno mungkin diketahui dalam tempoh tiga minggu lagi.
Ini kerana sebarang permohonan untuk kembali semula menyertai Umno perlu diputuskan di peringkat Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Dan menurut Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, mesyuarat MT yang terdekat mungkin diadakan dalam tempoh tiga minggu lalu.
Oleh itu, katanya, keputusan berhubung permohonan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk kembali menyertai Umno mungkin diketahui dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan sekaligus merasmikan seminar sehari yang bertajuk "Menjana Potensi Modal Insan" anjuran kementerian itu di Putrajaya hari ini, demikian menurut laporan Bernama.
Ezam dan bekas Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh Anuar Shaari yang pernah meninggalkan Umno untuk menyertai parti pembangkang itu, kini berhasrat untuk kembali kepada Umno.
Masalah jadi ahli
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata, hanya MT mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan kemasukan semula mereka, dan perkara itu akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Dalam perkembangan lain, Muhammad turut tidak menolak terdapat beberapa kes di mana permohonan untuk menjadi ahli Umno mengambil masa yang lama.
Beliau berkata, kebanyakannya berpunca di peringkat cawangan, bukannya di peringkat atasan.
"Kes-kes tertentu memang ada, tapi kalau kes itu dibawa ke MT, MT akan luluskan dengan segera," katanya.
Semalam, Bernama melaporkan terdapat kesukaran untuk menjadi ahli Umno memandangkan tempoh yang begitu lama diambil untuk meluluskan sesetengah permohonan.
Antara yang menghadapi situasi itu termasuklah Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir yang mendakwa beliau mengambil masa enam bulan untuk diterima sebagai ahli.
www.malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment