PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Cadangan melarang penjualan bahan api kepada kenderaan asing akan ditarik balik berikutan kenaikan bahan itu yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Rabu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Samad berkata cadangan itu tidak perlu oleh kerana pengguna kini terpaksa membelanjakan RM2.70 untuk seliter petrol dan RM2.58 bagi diesel selaras dengan usaha kerajaan bagi mengurangkan subsidi bahan api.
"Apabila saya cadangkan larangan itu, masalah tersebut ialah kenderaan asing menikmati subsidi kerajaan untuk rakyat Malaysia. Ia boleh ditarik balik esok," katanya kepada pemberita selepas Abdullah mengumumkan pakej penstrukturan subsidi itu di pejabatnya di sini hari ini.
"Larangan itu sepatutnya bermula pada 9 Jun, tetapi oleh kerana kerajaan telah memutuskan bahawa kita menaikkan harga petrol dan penstrukturan sistem subsidi, jadi penjualan atau larangan itu tidak perlu lagi," tambahnyan.
Beliau berkata di bawah sistem baru itu, kerajaan akan hanya memberikan subsidi 30sen daripada harga pasaran bahan api dan kadar baru petrol dan diesel akan dikaji semula berdasarkan bulanan.
"Jika harga itu naik, ada peningkatan tetapi ada subsidi 30 sen seliter oleh kerajaan. Pada akhir bulan, jika ada perubahan barulah harga itu akan juga berubah.
"Ia adalah sama jika harga itu turun...ia akan berkurangan secara sama dengan harga petrol dan diesel dunia," kata beliau.
Menteri itu berkata pemilik kenderaan yang didaftarkan di Malaysia akan menerima subsidi mereka setiap kali mereka memperbaharui cukai jalan kenderaannya di pejabat pos di seluruh negara.
"Kerajaan akan mengeluarkan kiriman wang berjumlah RM625 untuk kereta di bawah 2000cc dan trak pikap serta jip bawah 2500cc setiap kali pemilik memperbaharui cukai jalan mereka di pejabat pos. Ia dengan serta merta.
Apabila anda memperbaharui cukai jalan, anda akan mendapat kiriman wang anda dan anda boleh menunaikannya dengan serta merta, dan memasukkan wang itu ke dalam akaun bank anda," tambah beliau.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment