27 June 2008

BN beri SAPP 30 hari, jika tidak jawab, mungkin diberi tempoh lagi

BN beri SAPP 30 hari untuk jawab

Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang mengadakan mesyuarat khas malam ini, yang kedua dalam tempoh seminggu, memutuskan untuk memberi surat tunjuk sebab kepada Parti Maju Sabah (SAPP) berhubung pendirian parti itu yang mengumumkan ia tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

SAPP akan diberi masa 30 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuaratnya yang berlangsung kira-kira dua jam di sini.

Wakil SAPP tidak dijemput menghadiri mesyuarat itu.

Ketika ditemui wartawan selepas mesyuarat itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, tempoh itu diberikan bagi membolehkan SAPP membela diri.

"Tindakan SAPP bertentangan dengan disiplin parti (BN)," kata beliau yang juga Ketua Whip.

Mesyuarat hari ini dipengerusikan oleh Abdullah yang menyerahkan kepada Najib untuk mengumumkan keputusan dibuat mengenai kedudukan SAPP.

Keputusan itu merupakan antara pertimbangan yang disyor oleh Jawatankuasa Pengurusan BN yang bermesyuarat Selasa lalu.

Dewan Tertinggi BN mengadakan mesyuarat Khamis lalu tetapi tidak memutuskan sebarang tindakan sementara menanti penjelasan rasmi SAPP.

Bagaimanapun SAPP mengulangi pendiriannya tidak percaya kepimpinan Abdullah, Jumaat lalu.

Jumaat lalu, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi partinya bersetuju supaya usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibawa namun tidak membuat sebarang ketetapan berhubung isu keluar daripada BN.

Dengan pendirian itu wakil parti tersebut sepatutnya membawa ataupun menyokong usul berkaitan undi tidak percaya kepimpinan Abdullah di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Malah sehingga hari ini dua wakil SAPP masing-masing Ahli Parlimen Sepanggar dan Tawau tidak kelihatan di Dewan Rakyat.

Pagi tadi Abdullah membentangkan laporan kajian separuh penggal pertama Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dalam pada itu, Abdullah pula berkata, mesyuarat hari ini juga membincangkan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah dan Sarawak.

"Najib akan panggil komponen dari Sabah dan Sarawak untuk hadir mesyuarat. Kerajaan pandang serius isu ini," katanya.

Malah, BN juga memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang ada hubung kait dengan kaum India.

Mesyuarat penubuhan jawatankuasa itu akan diadakan pada Isnin ini, kata Perdana Menteri.

Selain itu, mesyuarat malam ini juga memutuskan penubuhan empat jawatankuasa iaitu kerangka penyelidikan penjenamaan semula BN, memperkasakan BN, penyusunan semula BN untuk memberi khidmat awam dan jawatankuasa pengaruh media.

Pemuda dan Wanita akan dijemput menghadiri jawatankuasa tersebut.

Mesyuarat juga menyentuh laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

http://klpos.com

No comments:

Post a Comment