08 June 2008

Ayam dijual melebihi harga siling

KUALA LUMPUR – Harga siling ayam masih belum dimansuhkan, namun penternak, pemborong serta para peniaga ternakan berkenaan nampaknya sudah tidak lagi mematuhi penetapan harga siling untuk ternakan itu.

Malah berdasarkan tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa pasar utama di seluruh negara mendapati, hampir semua peniaga menjual ayam pada harga melebihi harga siling iaitu RM6 seperti yang ditetapkan kerajaan.

Kini, rata-rata peniaga menjual ayam pada harga antara RM6.50 dan RM7 sekilogram dan lebih ‘menakutkan’ peniaga terbabit telah menguar-uarkan untuk menaikkan lagi harga ternakan itu minggu depan.

Ketika ini, harga pasaran ayam di ibu negara, Johor Bahru serta Kota Bharu ialah RM6.50 sekilogram manakala di Pulau Pinang antara RM6.80 dan RM7 manakala di Seremban sudah mencecah RM7 sekilogram.

Diramalkan, harga ayam pada minggu depan akan melebihi RM7 untuk setiap satu kilogram walaupun sudah ada bandar-bandar utama di Semenanjung yang sudah menjual pada harga itu.

Peniaga yang ditemui mendakwa mereka terpaksa menjual pada harga tinggi kerana pemborong menjualnya melepasi paras siling.

Ketika ini kebanyakan peniaga terpaksa mendapatkan bekalan daripada pemborong dengan harga RM5.90 hingga RM6.10 berbanding harga yang dibenarkan hanya RM5.40.

Pemborong pula menyalahkan penternak yang menaikkan harga ayam di ladang yang dibeli pada harga RM4.60 sedangkan harga siling yang ditetapkan ialah sebanyak RM4.

Menurut seorang peniaga di Pasar Borong Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Zairi, kenaikan harga ayam itu dikatakan akibat kenaikan harga minyak dan diesel.

www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment